Prabowo kekal tegas hadapi pihak cetus huru-hara, rakyat tetap dibela
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan komitmennya untuk terus membela rakyat dan bersumpah tidak akan berganjak dalam menghadapi insiden huru-hara yang tercetus sejak beberapa hari lalu.
Petikan dari video YouTube @okezone.
“Demi Allah, saya tidak akan mundur walau setapak. Saya yakin rakyat bersama saya,” kata Encik Prabowo ketika memberi kenyataan media selepas melawat mangsa tunjuk perasaan di Hospital Polis (RS Polri) Kramat Jati, Jakarta Timur, pada Isnin (1 Sep), lapor Antara.
Beliau menzahirkan rasa simpati terhadap puluhan mangsa cedera, sama ada anggota polis mahupun orang awam. Menurutnya, masih ada 17 orang yang dirawat, termasuk seorang wanita yang patah tulang selepas motosikalnya dirampas perusuh.
HAK BERSUARA PERLU IKUT UNDANG-UNDANG
Encik Prabowo menegaskan bahawa kebebasan bersuara dijamin oleh undang-undang, tetapi ia mesti dilakukan secara aman dan mengikut peraturan.
“Kalau penunjuk perasaan itu benar-benar ikhlas, pihak berkuasa malah wajib melindungi mereka,” jelas beliau.
Namun, beliau menilai sebahagian aksi sudah diceroboh pihak perusuh yang berniat merosakkan serta membakar kemudahan awam, termasuk bangunan Parlimen (DPR dan DPRD).
“Niat mereka bukan mahu sampaikan pendapat, tetapi mahu mencetuskan kekacauan, mengganggu kehidupan rakyat dan menggagalkan usaha pembangunan negara,” katanya lagi, seperti dilapor ANTARA.
TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Presiden Indonesia itu turut menegaskan pemerintah akan bertindak tegas dan menyiasat hingga tuntas pihak-pihak yang bertanggungjawab.
“Saya tidak akan ragu untuk membela rakyat. Saya akan berdepan dengan mana-mana kumpulan mafia, walau sekuat mana mereka, demi kepentingan rakyat,” tegasnya.
Beliau turut mengarahkan supaya semua anggota polis yang cedera diberi kenaikan pangkat luar biasa sebagai penghargaan atas pengorbanan menjaga keselamatan negara.
LAWATAN KE HOSPITAL POLIS
Terdahulu, Encik Prabowo melawat lebih 10 anggota polis yang cedera dalam rusuhan semasa tunjuk perasaan minggu lalu di beberapa kawasan Jakarta. Beliau hadir bersama Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo dan Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya, menurut laporan ANTARA.
“Hari ini saya rasa terpanggil untuk menjenguk anggota-anggota kita, prajurit kepolisian yang cedera kerana mempertahankan negara dan rakyat,” katanya.
Secara keseluruhan, lebih 40 orang – termasuk anggota polis dan orang awam – dilaporkan cedera akibat kekacauan itu. Namun, sebahagian besar daripada mereka sudah dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan.
580 DITAHAN DALAM TUNJUK PERASAAN DI 6 DAERAH JAWA TIMUR
Sementara itu, polis Indonesia menahan seramai 580 individu menyusuli gelombang tunjuk perasaan yang melanda enam daerah utama di Jawa Timur sejak hujung minggu lalu.
Penangkapan dilakukan di Surabaya, Malang, Sidoarjo, Jember, Kediri dan Banyuwangi, melibatkan peserta yang didakwa mencetuskan gangguan awam dan merosakkan harta benda, lapor CNN Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, tunjuk perasaan tersebut merupakan sebahagian daripada gerakan nasional yang menuntut reformasi institusi keselamatan, menolak kenaikan elaun anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI), serta mendesak pembebasan masyarakat pribumi yang ditahan.
Di beberapa lokasi, perhimpunan bertukar tegang apabila peserta bertembung dengan pasukan keselamatan.
Jurucakap polis memaklumkan bahawa tangkapan dibuat bagi mengelakkan rusuhan berlanjutan dan memastikan keselamatan orang awam.
Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan.
Gelombang tunjuk perasaan itu bermula di Jakarta pada 25 Ogos lalu dan kini merebak ke beberapa wilayah lain termasuk Jawa Timur.
Pasukan keselamatan sudah meningkatkan kawalan di kawasan strategik dan menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh dengan provokasi yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
POLIS SIASAT INSIDEN ROMPAKAN KE ATAS KEDIAMAN ANGGOTA DPR
Polis Indonesia di bawah bidang kuasa Polda Metro Jaya juga sedang menjalankan siasatan berhubung insiden penjarahan atau rompakan di kediaman dua anggota DPR.
Rompakan ke atas kediaman Ahmad Sahroni dan Eko Hendro Purnomo atau lebih dikenali sebagai Eko Patrio, berlaku ketika gelombang tunjuk perasaan hujung minggu lalu.
Menurut laporan Jawa Pos, rumah Ahmad Sahroni di Tanjung Priok, Jakarta Utara, telah digempur oleh orang ramai yang merosakkan beberapa barangan dan membawa lari harta benda.
Ketua Siasatan Jenayah Polres Metro Jakarta Utara, Kompol Onkoseno Grandiarso Sukahar, mengesahkan siasatan sedang dijalankan namun setakat ini tiada tangkapan dilakukan.
Sementara itu, kediaman Eko Patrio di kawasan Kuningan, Jakarta Selatan, turut menjadi sasaran rompakan pada Sabtu malam, sekitar pukul 10.05 malam waktu tempatan.
Walaupun terdapat kawalan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), orang ramai tetap berjaya memasuki rumah dan mengambil pelbagai barangan termasuk pakaian, kerusi, meja dan perabot rumah tangga lain.
Ketua Polis Resor Metro Jakarta Selatan, Kombes Nicolas Ary Lilipaly, menyatakan pihaknya telah membuka laporan polis model A dan sedang meneliti rakaman CCTV untuk mengenal pasti individu yang terlibat.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujud dalang di sebalik insiden tersebut.
Insiden rompakan ini berlaku di tengah ketegangan politik dan sosial yang semakin memuncak di ibu kota, dengan beberapa kediaman tokoh awam lain turut dilaporkan menjadi sasaran.
Pihak berkuasa kini mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan terjejas dan menyeru orang ramai agar tidak terlibat dalam tindakan anarki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.