Skip to main content

Dunia

Prabowo ikrar naikkan gaji hakim demi hapuskan rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
Prabowo ikrar naikkan gaji hakim demi hapuskan rasuah

(Gambar: Facebook/Prabowo Subianto)

Diterbitkan : 09 Oct 2024 06:19PM
DENPASAR: Bakal Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata gaji hakim akan dinaikkan.

Encik Prabowo berkata langkah tersebut diambil supaya para hakim tidak mudah disogok dan diperdaya.

Perkara tersebut disampaikan melalui perbualan telefon dengan Wakil Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI), Sufmi Dasco Ahmad, pada pertemuan anggota DPR RI bersama Solidariti Hakim Indonesia.

"Saudara-saudara sekalian, saya dimaklumkan oleh Profesor Dasco bahawa ada pertemuan antara saudara-saudara perwakilan hakim dengan pimpinan DPR. Saya sudah lama menaruh perhatian yang sangat besar terhadap hakim. Saya berpendapat bahawa badan kehakiman kita harus kuat," kata Encik Prabowo melalui perbualan telefon pejabat DPR RI, Senayan, Jakarta Pusat, pada Selasa (8 Okt) seperti dinukil detikNews.

Encik Prabowo komited untuk meningkatkan mutu kehidupan hakim, dan menambah bahawa beliau ingin meningkatkan gaji mereka, supaya dapat bertugas dengan lebih baik.

“Saya percaya mutu kehidupan hakim perlu ditingkatkan, dan perkara itu perlu dijamin, supaya mereka bebas dan boleh menjalankan tugas sebagai hakim dengan sebaik mungkin,” kata Encik Prabowo.

"Disebabkan itu, dari dahulu, rancangan saya adalah untuk meningkatkan gaji hakim, supaya mereka bekerja dengan lebih baik. Itu adalah pandangan saya sejak dahulu," tambahnya.

Encik Prabowo berkata, itu bukan janji disebabkan kempennya sudah berakhir. Beliau berkata, selepas mendapat mandat daripada pemerintah sebelumnya, perkara tersebut akan dilakukan dengan segera.

"Dan ini bukan janji kerana kempen sudah tamat, jadi saya tidak perlu berjanji. Tetapi ini adalah kepercayaan saya. Jadi saya minta hakim bersabar sebentar. Selepas saya menerima tangunggjawab, saya menerima mandat, saya akan melaksanakannya, saya benar-benar akan memperhatikan hakim, supaya negara kita dapat menghapuskan rasuah," kata Encik Prabowo.

Beliau ingin hakim di negara tersebut berpegang teguh kepada pendirian, tidak boleh disogok, mahupun dibeli. Encik Prabowo menekankan komitmen tersebut dengan tegas.

"Hakim tidak boleh disogok, hakim tidak boleh dibeli, hakim mesti dihormati, hakim perlu mendapat perhatian dari negara, gaji yang cukup, supaya mereka mempunyai harga diri yang sangat tinggi dan mereka tidak perlu mencari pendapatan tambahan. Itu adalah azam saya, itulah kepercayaan saya," tambahnya.

 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita