Skip to main content

Dunia

Prabowo ikrar basmi 'serakahnomics', rasuah dalam ucapan kepada rakyat Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Prabowo ikrar basmi 'serakahnomics', rasuah dalam ucapan kepada rakyat Indonesia

Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyampaikan ucapan kepada seluruh negara pada 15 Ogos 2025. (Gambar: AFP/Ajeng Dinar Ulfiana)

JAKARTA: Indonesia akan mengambil tindakan tegas terhadap amalan perniagaan yang bersifat mengeksploitasi atau 'serakahnomics', kata Presiden Prabowo Subianto pada Jumaat (15 Ogos) dalam ucapannya yang pertama kepada seluruh negara di mana beliau turut menggariskan pencapaian pemerintah pimpinannya sejak beliau mula menyandang jawatan sebagai presiden Indonesia pada Oktober lalu.

Berucap di kompleks parlimen di Jakarta, Encik Prabowo berkata pemerintah pimpinannya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang syarikat yang mengamalkan monopoli, terlibat dalam amalan menetapkan harga, menyorok barang bersubsidi untuk dijual semula pada harga yang tinggi untuk meraih keuntungan, atau sengaja mewujudkan kekurangan bekalan bagi memanipulasi harga pasaran.

"Kami akan selamatkan rakyat, kami akan membela kepentingan rakyat, kami akan pastikan rakyat Indonesia tidak akan menjadi korban serakahnomics.

"Korban mereka yang mengejar keuntungan sebesar-besarnya, menipu dan mengorbankan rakyat Indonesia, dan membawa keuntungan itu, kekayaan itu, keluar dari pemerintah Indonesia. Ini harus kita hentikan," kata Encik Prabowo sambil berikrar akan mengambil tindakan terhadap perniagaan dan individu yang membudayakan amalan yang disifatkan sebagai 'serakahnomics'.

"Untuk melindungi konsumen (pengguna) Indonesia, pemerintah yang saya pimpin akan selalu mewaspadai kecurangan-kecurangan, manipulasi, penipuan, upaya penimbunan, dan menahan distribusi (pengagihan) bahan pangan. Pemerintah yang saya pimpin tidak akan ragu-ragu. Kami akan selalu tegas pada mereka yang melanggar aturan," kata Encik Prabowo dalam ucapannya.

Membasmi amalan-amalan 'serakahnomics' merupakan salah satu sebab Encik Prabowo akan membangunkan lebih 80,000 koperatif desa di seluruh Indonesia bagi memastikan barang bersubsidi tidak dikendalikan oleh orang tengah tetapi sebaliknya dapat memanfaatkan para petani secara langsung.

Koperatif-koperatif itu, kata Encik Prabowo, juga akan memastikan para petani mendapat harga terbaik bagi hasil pertanian mereka.

"Masih terlalu banyak anak-anak yang kelaparan, petani dan nelayan yang kesulitan menjual hasil panennya," katanya.

"Kita salurkan pupuk langsung dari pabrik (kilang) ke petani-petani dan memberi bantuan alat pertanian kepada para petani kita. Saya perhatikan di mana-mana para petani tersenyum kerana harga gabah stabil dan penghasilan mereka meningkat," kata Encik Prabowo lanjut.
Related article image
Presiden Indonesia Prabowo Subianto menunjukkan isyarat semasa menyampaikan pidato dalam Sidang Tahunan MPR RI dan Sidang Bersama DPR-DPD RI Tahun 2025 menjelang Hari Kemerdekaan Indonesia. (Gambar: AFP/Ajeng Dinar Ulfiana)
Encik Prabowo juga berikrar akan membasmi rasuah, yang menurutnya masih berleluasa di "setiap
peringkat birokrasi".

Beliau berkata pemerintah menjimatkan sekitar 300 trilion rupiah (S$23.5 juta) dengan memotong "perbelanjaan yang lebih terdedah kepada rasuah dan manipulasi".

"Antaranya anggaran perjalanan dinas luar dan dalam negeri yang begitu besar, anggaran alat tulis kantor yang begitu besar, dan berbagi anggaran yang selama ini jadi sumber korupsi dan sumber bancaan," kata Encik Prabowo sambil menegaskan pihaknya "tidak teragak-agak untuk membongkar kes-kes rasuah secara besar-besaran".

Encik Prabowo juga berjanji akan menyekat pelombongan haram, yang menurutnya menyebabkan pemerintah menanggung kos berbilion dolar, serta penyeludupan barang murah dari luar negara yang mengancam pengeluar tempatan.

Beliau juga berikrar untuk mengambil tindakan terhadap para pegawai yang melindungi atau berpura-pura tidak tahu-menahu tentang operasi-operasi tersebut.

MENEKANKAN PENCAPAIAN

Satu lagi bahagian utama dalam ucapan Encik Prabowo ialah mengenai inisiatif 'Makan Bergizi Gratis', yang dikemukakannya sebagai asas usahanya untuk mengurangkan kemiskinan dan "menghasilkan generasi yang sihat, bijak dan produktif".

Dilancarkan pada Januari lalu, program itu sudah mendampingi lebih 82 juta kanak-kanak sekolah dan wanita hamil, menurut Encik Prabowo.

Beliau menguar-uarkan rentak pelancaran program itu, sambil berkata pemerintahnya berjaya mencapai dalam masa lapan bulan apa "yang dicapai oleh negara-negara lain selepas bertahun-tahun".

Dalam ucapannya selama lebih sejam menjelang Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-80 pada Ahad ini, Encik Prabowo menarik perhatian terhadap usaha pemerintah untuk menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada berjuta-juta rakyat Indonesia serta sekolah berasrama percuma kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.

Encik Prabowo mengaitkan usaha itu dengan visi jangka panjang "Indonesia Emas 2045", yang menyeru pertumbuhan ekonomi berterusan dan ukuran ringkasan pembangunan manusia (HDI) yang lebih baik.

Namun beberapa pakar menyuarakan keprihatinan terhadap kos tinggi mengendalikan program-program itu dan kesannya terhadap ekonomi Indonesia.

Pada 1 Julai, Kementerian Kewangan Indonesia meramalkan program-program itu akan mencetuskan defisit kira-kira AS$40 bilion (S$51.2 bilion) pada pemerintah, atau 2.7 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) menjelang akhir tahun 2025.

Namun, Encik Prabowo percaya pentadbirannya mampu mengatasi defisit itu dengan meningkatkan pendapatan dan membanteras rasuah serta memotong perbelanjaan yang membazirkan.

Ucapan yang disampaikan oleh Encik Prabowo pada Jumaat dihadiri oleh mantan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Joko Widodo, serta speaker parlimen dari negara-negara jiran termasuk Encik Seah Kian Peng dari Singapura dan Johari Abdul dari Malaysia serta beberapa utusan lain.

Encik Prabowo dijadual menyampaikan satu lagi ucapan pada Jumaat berhubung rancangannya sepanjang tempoh satu tahun akan datang.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita