Prabowo gesa hukuman, peraturan lebih ketat terhadap kebakaran hutan
Presiden Indonesia Prabowo Subianto menggesa peraturan lebih ketat dan hukuman lebih tegas terhadap amalan membersihkan tanah melalui kaedah tebang dan bakar, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai “pengganasan ekologi”, sedang negara itu bergelut untuk membendung kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan selama berminggu-minggu.
Seorang penunggang motosikal melalui sebatang jalan ketika kebakaran hutan berlaku berhampiran jalan utama di Ogan Ilir, wilayah Sumatra Selatan, Indonesia, pada 11 September 2026. (Gambar: REUTERS/Abriansyah Liberto)
Indonesia sedang berdepan kebakaran hutan dan tanah paling dahsyat dalam tempoh 11 tahun, dengan keadaan cuaca “Super El Nino” menyebabkan hutan dan kawasan pertanian di negara tersebut menjadi sangat kering. Pulau Kalimantan dan Sumatra paling teruk terjejas, dengan jerebu berbahaya menyebabkan peningkatan kes penyakit pernafasan.
Pencemaran rentas sempadan turut menyebabkan mutu udara mencecah paras tidak sihat di negara-negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.
Encik Prabowo, dalam mesyuarat bersama kabinetnya, berkata tiada kelonggaran akan diberikan kepada individu atau syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kebakaran hutan dan tanah.
“Saya sudah meminta Setiausaha Negara (Menteri Sekretaris Negara) dan Menteri Undang-Undang (Menteri Hukum) untuk meneliti perkara ini dengan lebih lanjut, khususnya berkaitan hukuman undang-undang,” kata beliau.
“Dan mungkin kita harus meminta Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk memperketatkan undang-undang dengan mengklasifikasikan perbuatan ini sebagai ‘pengganasan ekologi’. Ini perkara yang sangat serius,” tambah beliau, menurut kenyataan istana yang dikeluarkan lewat Rabu (16 Sep).
Beliau turut mengarahkan pemerintah daerah supaya segera memansuhkan pengecualian yang membolehkan para peladang dan petani membersihkan kawasan tanah berskala kecil dengan menggunakan api. Encik Prabowo juga menggesa polis menjalankan siasatan jenayah terhadap syarikat-syarikat yang didapati melanggar langkah perlindungan kebakaran.
POLIS MULAKAN SIASATAN
Menyusuli kenyataan Encik Prabowo, pegawai Polis Negara Indonesia (Kepolisian Negara Republik Indonesia), Mohammad Irhamni, memberitahu para wartawan pada Khamis bahawa polis sudah memulakan 219 siasatan jenayah berkaitan kebakaran tersebut, dengan 162 orang dinamakan sebagai suspek setakat ini. Beliau menambah bahawa polis turut menyiasat 95 syarikat, namun tidak mendedahkan berapa banyak daripadanya disyaki melakukan kesalahan jenayah.
“Kami dalam kalangan penguat kuasa undang-undang sedang berusaha mengenal pasti pihak-pihak yang melakukan pembakaran, sama ada individu mahupun syarikat, kerana perbuatan jenayah ini sudah berlaku dan menyebabkan kemudaratan kepada orang ramai,” kata Encik Irhamni.
Indonesia sudah mengerahkan lebih 50 pesawat untuk menjalankan operasi menerusi kaedah bom air dan pembenihan awan bagi membantu memadamkan kebakaran.
Jepun turut menyertai operasi tersebut pada Rabu dan Khamis. Jepun mengerahkan tiga helikopter CH-47 Chinook minggu lalu, namun keadaan penerbangan yang kurang baik menyebabkan penyertaan mereka tertangguh.
Dari Januari hingga Julai, kebakaran menjejas kawasan seluas 202,000 hektar, atau hampir 500,000 ekar, menurut data pemerintah. Kumpulan pencinta alam Yayasan Konservasi Alam Nusantara (YKAN) menganggarkan kebakaran memusnahkan 600,000 hektar lagi, atau 1.4 juta ekar, pada Ogos.
Menteri Perhutanan (Menteri Kehutanan) Raja Juli Antoni memberi amaran bahawa kebakaran hutan dan tanah mungkin berlarutan hingga awal November, dengan musim hujan dijangkakan lebih lewat daripada ramalan terdahulu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.