Skip to main content

Dunia

Prabowo gandakan bantuan kepada 4 bilion rupiah bagi kawasan terjejas bencana di Sumatra

Anggaran Waktu Membaca:
Prabowo gandakan bantuan kepada 4 bilion rupiah bagi kawasan terjejas bencana di Sumatra
Presiden Indonesia Prabowo Subianto. (Gambar: Bernama)
BANDA ACEH: Presiden Indonesia Prabowo Subianto meluluskan peruntukan tambahan sehingga empat bilion rupiah (S$311,350) bagi setiap daerah dan bandar yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatra, lapor agensi berita ANTARA.

Keputusan itu dibuat selepas Menteri Dalam Negeri Tito Karnavian memohon dua bilion rupiah (S$155,820) bagi setiap wilayah terjejas semasa mesyuarat penyelarasan mengenai tindak balas bencana Sumatera di Aceh Besar, Aceh, pada Ahad.

“Sebanyak 52 daerah dan bandar berada dalam keadaan kewangan yang teruk. Mungkin kita boleh membantu dengan menyediakan dua bilion rupiah kepada pemerintah wilayah untuk membantu rakyat,” kata Encik Tito Karnavian kepada presiden ketika mesyuarat itu.

Encik Prabowo kemudian bersetuju untuk menggandakan jumlah itu. “Anda minta dua bilion rupiah untuk setiap daerah, saya setuju untuk memberi mereka empat bilion rupiah,” katanya.

Beliau seterusnya mengarahkan Encik Tito Karnavian mengenal pasti wilayah yang paling teruk terjejas dan memutuskan untuk memperuntukkan sokongan tambahan. “Untuk wilayah yang paling teruk terjejas, salurkan 20 bilion rupiah (S$1.5 juta),” tambah Encik Prabowo.

Presiden itu turut menggesa pemimpin wilayah untuk terus berusaha meringankan penderitaan rakyat akibat banjir dan tanah runtuh yang meluas, sambil memberi jaminan sokongan penuh daripada pemerintah pusat.

Dalam mesyuarat itu, Encik Tito Karnavian menekankan cabaran kewangan yang dihadapi kawasan terjejas, dengan menyatakan bahawa dana luar jangkaan semakin berkurangan.

“Satu wilayah melaporkan mereka hanya mempunyai 75 juta rupiah (S$5,820) dalam dana luar jangkaan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa sementara pemerintah pusat menanggung keperluan utama seperti makanan, bahan api, elektrik dan keperluan lain, pihak berkuasa wilayah perlu menangani keperluan tambahan bagi mangsa bencana.

Encik Tito Karnavian berkata beliau sudah mengeluarkan surat pekeliling yang mengarahkan wilayah yang mempunyai lebihan dana supaya membantu wilayah lain yang terjejas bencana. Arahan itu berjaya mengumpulkan 34 bilion rupiah (S$2.6 juta) untuk diagihkan kepada kawasan terjejas.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita