Skip to main content

Dunia

Prabowo dikecam hebat; lantik jeneral tentera yang pernah disabit kesalahan sebagai ketua kastam

Seorang jeneral tentera aktif yang sebelum ini disabit kesalahan menculik aktivis pro-demokrasi dilantik pada Jumaat (23 Mei) ke jawatan penting di Kementerian Kewangan Indonesia, mencetuskan apa yang dilihat para pemerhati sebagai kritikan paling hebat setakat ini terhadap langkah Presiden Prabowo Subianto dalam melantik pegawai kanan berseragam ke jawatan tinggi dalam sektor awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Prabowo dikecam hebat; lantik jeneral tentera yang pernah disabit kesalahan sebagai ketua kastam

Leftenan Jeneral Djaka Budhi Utama (kiri) dan Presiden Prabowo Subianto. (Gambar: Facebook/Sri Mulyani Indrawati, AFP)

JAKARTA: Seorang jeneral tentera aktif yang sebelum ini disabit kesalahan menculik aktivis pro-demokrasi dilantik pada Jumaat (23 Mei) ke jawatan penting di Kementerian Kewangan Indonesia, mencetuskan apa yang dilihat para pemerhati sebagai kritikan paling hebat setakat ini terhadap langkah Presiden Prabowo Subianto dalam melantik pegawai kanan berseragam ke jawatan tinggi dalam sektor awam.

Upacara angkat sumpah Leftenan Jeneral Djaka Budhi Utama sebagai ketua pengarah Jabatan Kastam dan Eksais Indonesia turut meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan kembalinya era pemerintahan Suharto, di mana tentera mempunyai kawalan yang meluas terhadap kehidupan awam, menurut para pakar.

Sebelum ini, Encik Djaka yang berusia 57 tahun merupakan pegawai kanan di Agensi Perisikan Negara. Beliau kini menyertai senarai panjang pegawai tentera atau polis aktif yang diberikan peranan strategik dalam pemerintah sejak Encik Prabowo – yang juga merupakan bekas jeneral – memegang jawatan presiden pada Oktober lalu.

Pada bulan yang sama, Encik Prabowo turut melantik Leftenan Kolonel Teddy Indra Wijaya sebagai setiausaha kabinet, satu jawatan yang setaraf dengan menteri. Encik Teddy merupakan pembantu Prabowo semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 2019 hingga 2024.

Sekurang-kurangnya enam pegawai tentera aktif telah dilantik bagi pelbagai jawatan dalam kementerian, agensi dan syarikat milik pemerintah sejak itu.

Pada Isnin lalu, seorang pegawai polis aktif, Inspektor Jeneral Mohammad Iqbal, dilantik sebagai setiausaha agung Dewan Perwakilan Daerah (DPD), salah satu daripada dua dewan parlimen Indonesia.

Pelantikan-pelantikan tersebut mencetuskan kebimbangan bahawa Indonesia kini menghala kembali ke zaman pemerintahan kuku besi Suharto, yang memerintah dari 1968 hingga 1998. Era Suharto menyaksikan pihak tentera menguasai hampir setiap aspek kehidupan awam sebelum gerakan pelajar memaksanya meletak jawatan pada 21 Mei 1998. Encik Suharto juga merupakan bapa mentua Presiden Prabowo.

Pelantikan Djaka menimbulkan kebimbangan yang lebih besar dalam kalangan aktivis dan pakar kerana sabitan lampau serta peranan teknikal yang kini disandangnya.

Encik Djaka juga memegang salah satu jawatan tertinggi yang pernah diberikan kepada pegawai tentera aktif di bawah pentadbiran Presiden Prabowo.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita