Skip to main content

Dunia

Prabowo bidas kritikan terhadap kekerapan lawatan luar negara; tegaskan ia bawa pulangan ekonomi kepada rakyat Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
 Prabowo bidas kritikan terhadap kekerapan lawatan luar negara; tegaskan ia bawa pulangan ekonomi kepada rakyat Indonesia

Presiden Prabowo Subianto semasa lawatan ke UAE pada Feb 2026 di mana beliau bertemu Presiden Mohammed bin Zayed Al Nahyan. (Gambar: Instagram/@presidenrepublikindonesia)

Diterbitkan : 24 Mar 2026 07:17PM Dikemas Kini : 24 Mar 2026 07:20PM
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto membidas kritikan terhadap lawatan luar negaranya, sambil menafikan dakwaan bahawa lawatan tersebut kononnya hanya untuk "makan angin" atau kunjungan istiadat.

Ini dipercayai kali pertama beliau bersuara mengenai kekerapan kunjungannya ke luar negara. Encik Prabowo berkata bahawa ia adalah sebahagian daripada strategi diplomasi ekonomi yang lebih meluas demi untuk melindungi pekerjaan dan memajukan kepentingan negara Indonesia.

Bercakap dalam sebuah video yang dimuat naik ke saluran YouTube rasminya bertajuk “Prabowo Menjawab 2” pada Ahad (22 Mac), presiden itu berkata bahawa setiap perjalanan ke luar negara mempunyai tujuan khusus yang berkait rapat dengan punca pendapatan berjuta-juta pekerja Indonesia.

“Orang fikir saya suka berjalan (melancong) tetapi saya berjalan untuk menjaga rakyat saya juga,” beliau dipetik sebagai berkata oleh saluran berita tempatan, Detik.

Beliau menambah bahawa pelibatan luar negaranya bertujuan untuk membuka akses pasaran dan mengukuhkan kedudukan tawar-menawar Indonesia serta kerjasama industri - yang kesemuanya mempunyai kesan langsung terhadap pekerjaan.

Sejak memegang jawatannya, pesara jeneral berusia 74 tahun itu mengikuti jadual diplomatik yang padat, menghadiri sekurang-kurangnya sembilan sidang puncak antarabangsa dan melakukan lebih 40 lawatan rasmi ke lebih 20 buah negara, merangkumi kuasa besar dan rakan strategik yang lebih kecil.

Beliau melawat beberapa buah negara lebih daripada sekali, termasuk Malaysia, yang dikunjunginya sekurang-kurangnya lima kali, lapor saluran berita Kompas.

Angka tersebut jauh melebihi 16 lawatan negara oleh pendahulunya Joko “Jokowi” Widodo, atau 10 lawatan luar negara mantan presiden Susilo Bangbang Yudhoyono, dalam tahun penuh pertama mereka memegang jawatan.

Encik Prabowo menambah bahawa dalam banyak kes, kehadiran langsung seorang ketua negara adalah faktor penentu dalam rundingan ekonomi, terutamanya yang berkaitan dengan perdagangan dan pelaburan.

“Akhirnya, saya harus berada di sana,” katanya.

Beliau menambah bahawa rundingan sering menemui jalan buntu di peringkat teknikal dan dalam situasi sedemikian, keputusan strategik hanya boleh dibuat melalui komunikasi langsung antara para pemimpin negara.

“Kadang-kadang dalam rundingan, mereka sentiasa berkata mereka perlu melapor kepada pemimpin tertinggi mereka. Ada perkara penting yang mesti dibincangkan secara langsung antara ketua-ketua negara,” katanya.

Encik Prabowo memetik kejayaan Indonesia dalam mendapatkan akses ke pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada melalui skim kerjasama ekonomi, yang membolehkan beberapa eksport utama Indonesia seperti tekstil dan kasut menikmati tarif sifar selepas sebelum ini menghadapi halangan perdagangan.

Tanpa campur tangan langsung di peringkat ketua negara, katanya, sektor pembuatan domestik Indonesia boleh mengalami tekanan yang serius.

“Kasut dan tekstil kita pernah terancam, tetapi sekarang kita telah mengamankan alternatif. Jika saya tidak pergi terus menemui Raja Belgium, Raja Belanda, atau pemimpin EU, kita mungkin tidak akan berjaya menembusinya,” katanya.

Kekerapan lawatan tinggi mencerminkan landskap global yang berubah-ubah yang semakin mengutamakan kekuatan ekonomi, yang merupakan kunci dalam menentukan kedudukan sesebuah negara, tambahnya.

“Jika ekonomi kita kuat, kita tidak boleh diperlekehkan,” katanya.

Beliau juga menekankan kedudukan strategik Indonesia sebagai negara yang kaya dengan sumber yang menarik kuasa global.

Hubungan dengan pertubuhan antarabangsa seperti Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), G20, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti terus diperkukuh untuk mengekalkan kestabilan dan menjaga kepentingan negara, katanya.

Beliau juga menambah bahawa menghadiri undangan antarabangsa adalah sebahagian daripada norma diplomatik.

“Jika kita dijemput dan kita tidak hadir, ia tidak bagus. Sebab itulah setiap presiden Indonesia akhirnya menjadi sangat sibuk.”

Pemerhati memberitahu Mediacorp sebelum ini bahawa jadual diplomatik Encik Prabowo yang padat boleh dilihat sebagai usaha untuk menonjolkan Indonesia sebagai kuasa tengah yang bersedia untuk berurusan secara langsung dengan kuasa-kuasa besar.

Pakar-pakar menambah bahawa dalam dunia hari ini yang semakin berpecah belah - ditandai oleh dasar perlindungan Amerika Syarikat, persaingan geopolitik dan ekonomi antara Washington dengan Beijing serta konflik yang berlarutan di Eropah dan Timur Tengah - Indonesia mungkin mempunyai peluang untuk menonjolkan dirinya sebagai penyatu, orang tengah dan penetap agenda.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita