Prabowo beri amaran akan pecat menteri jika tidak pamer prestasi baik
Amaran Presiden Indonesia Prabowo Subianto itu dikeluarkan di tengah-tengah beberapa kontroversi yang membelenggu pentadbirannya sejak awal penggal, selepas genap 100 hari beliau memegang jawatan pada 28 Januari.

Presiden Prabowo Subianto mengeluarkan amaran kepada para menteri untuk memperbaiki prestasi demi rakyat dan negara. (Gambar File: AP/Hasnoor Hussain)
Amaran tersebut dikeluarkan di tengah-tengah beberapa kontroversi yang membelenggu pentadbiran beliau sejak awal penggal.
Encik Prabowo mengangkat sumpah sebagai presiden Indonesia yang kelapan pada 20 Oktober lalu.
28 Januari 2025 merupakan hari ke-100 beliau memegang jawatan tersebut.
"Saya telah berulang kali memberi amaran bahawa mereka yang masih lagi degil dan gagal memenuhi kehendak rakyat atau menegakkan tadbir urus dengan baik dalam 100 hari pertama, perlu memberi penjelasan kepada saya," kata Prabowo yang dipetik Jakarta Globe pada Rabu (5 Feb) dalam satu acara sempena ulangtahun ke-102 Nahdlatul Ulama, pertubuhan terbesar Islam di Indonesia.
"Kami cuba untuk bersabar dalam 100 hari pertama, memberi peluang kepada semua pihak dan agensi negara untuk membetulkan diri. Perbaiki diri anda. Jika tidak, kami akan mengambil tindakan terhadap anda," tambah Presiden Prabowo.
Beliau mengulangi amaran tersebut menerusi para wartawan setelah selesai menghadiri acara yang dihadirinya.
"Kami mahu rakyat menuntut pentadbiran yang bersih ... yang berfungsi dengan baik. Saya mahu menegakkan perkara tersebut."
"Kepentingan adalah untuk negara dan rakyat - tiada kepentingan lain. Mereka yang tidak mahu bekerja dengan jujur buat rakyat, akan saya singkirkan," kata Prabowo.
Media tempatan melaporkan antara menteri yang terpalit kontroversi baru-baru ini termasuk Menteri Koperasi, Budi Arie Setiadi, yang disoal siasat polis pada Disember sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan berkenaan skandal perjudian online yang didakwa berlaku dalam Kementerian Komunikasi dan Digital.
Encik Budi sebelum ini pernah menerajui kementerian tersebut ketika mantan Presiden Joko Widodo memegang jawatan.
Dalam pada itu, Encik Prabowo baru-baru ini membatalkan satu keputusan yang diambil oleh Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Bahlil Lahadalia, yang menetapkan had sebanyak 3 kilogram (kg) terhadap jualan tong gas masak bersubsidi kepada "pengedar yang sah" menerusi peraturan baru awal bulan ini.
Jakarta Post melaporkan langkah tersebut mendatangkan reaksi negatif selepas orang ramai mengalami kesukaran untuk mendapatkan tong gas masak yang biasanya dijual di gerai-gerai kecil atau kedai-kedai serbaneka.
Presiden Prabowo kini mengetuai kabinet yang terbesar dalam sejarah Indonesia. Ini termasuk 48 menteri, 56 timbalan menteri dan para pegawai lain.
Walaupun adanya kontroversi, satu tinjauan yang dijalankan oleh unit penyelidikan akhbar Kompas pada 4 hingga 10 Januari mendapati bahawa 80.9 peratus rakyat Indonesia menyokong Prabowo selepas 100 hari beliau memegang jawatan.
Rating tinggi itu dikaitkan dengan pencapaian awal beliau dalam menunaikan janji yang dibuat ketika berkempen.
Rating itu turut melebihi populariti pendahulunya, Encik Joko Widodo, yang mencatatkan sokongan antara 60 ke 75 peratus sepanjang dua penggal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.