Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Prabowo arah kos haji 2025 lebih hemat untuk jemaah Indonesia

Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengarahkan Kementerian Agama mencari inisiatif untuk mengurangkan kos menunaikan ibadah haji menjelang tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Prabowo arah kos haji 2025 lebih hemat untuk jemaah Indonesia

Gambar fail Masjidil Haram semasa musim haji. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 30 Dec 2024 08:23AM Dikemas Kini : 30 Dec 2024 08:24AM
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengarahkan Kementerian Agama mencari inisiatif untuk mengurangkan kos menunaikan ibadah haji menjelang tahun depan.

Untuk tahun ini, kos menunaikan ibadah haji bagi setiap jemaah Indonesia ditetapkan sebanyak 56 juta rupiah atau kira-kira RM15,522 (S$4,720).

Naib Menteri Agama Muhammad Syafii berkata, Presiden Prabowo meminta supaya usaha merasionalkan kos itu dibuat tanpa menjejas mutu perkhidmatan kepada jemaah haji negara itu.

Beliau mengesahkan kos perjalanan haji 2025 akan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Namun jumlah pengurangan itu masih perlu dibincangkan dengan Panitia Kerja (Panja) Komisi Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia.

Katanya lagi, bersesuaian dengan kenyataan Menteri Agama, Presiden Prabowo mahu pengurusan ibadah haji tahun depan lebih berkualiti.

Bagaimanapun, pada masa yang sama beliau juga mahu melihat banyak kos yang boleh dirasionalkan, supaya kualitinya lebih baik dengan harga yang lebih hemat.

Sementara itu, Menteri Agama Nasaruddin Umar menegaskan kecekapan kos bukan bermakna mutu perkhidmatan akan dikurangkan.

Beliau menegaskan, penetapan kos haji Indoensia perlu mengambil kira pelbagai faktor luaran seperti inflasi, kadar pertukaran mata wang dan keadaan harga minyak.

Selain itu, usaha menghapuskan penyelewengan dalam pengurusan ibadah haji juga diharap dapat mengurangkan kos.

Tambah beliau, matlamatnya antara lain bertujuan untuk mengurangkan kos melalui kecekapan, termasuk menghapuskan penyelewengan.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan