Prabowo arah ambil tindakan tegas terhadap pelaku rompakan dan perosak kemudahan awam
Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pasukan keselamatan dan pemerintah untuk meningkatkan kewaspadaan menyusuli beberapa tunjuk perasaan pada 25 dan 28 hingga 30 Ogos 2025 yang berakhir dengan rusuhan di beberapa kawasan.
Presiden Prabowo Subianto (Gambar: Sekretariat Presiden)
Menyentuh tentang kekacauan itu, Presiden Prabowo Subianto mengarahkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) supaya mengambil tindakan tegas.
Secara langsung, Encik Prabowo mengarahkan anggotanya mengambil tindakan terhadap pelaku rompakan dan kemusnahan kemudahan awam.
"Kepada pihak polis dan TNI, saya arahkan untuk mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap kemusnahan kemudahan awam, rompakan rumah-rumah individu, dan pusat-pusat ekonomi, mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," tegas Encik Prabowo dalam sidang media di Istana,pada Ahad (31 Ogos)
Encik Prabowo menegaskan, tindakan rompakan dan kemusnahan kemudahan awam adalah pelanggaran umum dan bahawa menyampaikan pendapat seharusnya dilakukan secara damai. Beliau juga memastikan negara akan hadir dan melindungi hak-hak rakyat.
"Penyampaian aspirasi dapat dilakukan secara damai, namun jika dalam pelaksanaannya ada kegiatan anarki, merosakkan kemudahan awam, sehingga adanya korban jiwa; mengancam dan merompak rumah-rumah dan institusi-institusi awam, mahupun rumah-rumah peribadi, hal itu merupakan pelanggaran undang-undang dan negara wajib hadir dan melindungi rakyatnya," tegas Encik Prabowo, seperti dipetik Kompas.com.
Arahan tersebut sudah disampaikan kepada Ketua Polis Jeneral Listyo Sigit Prabowo, Panglima TNI Jeneral Agus Subiyanto, Ketua Badan Perisikan Negara (BIN) Herindra, dan Menteri Dalam Negeri (Mendagri) Tito Karnavian.
Perintah Ketua Negara itu kembali diumumkan oleh Menteri Pertahanan (Menhan) Sjafrie Sjamsoeddin selepas mesyuarat kabinet Merah Putih yang diadakan di Istana Presiden, Jakarta, pada Ahad (31 Ogos).
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh para pegawai utama, termasuk Ketua Polis dan Panglima TNI.
Encik Prabowo menugaskan Ketua Polis dan Panglima TNI agar tidak ragu-ragu mengambil tindakan terhadap segala bentuk pelanggaran undang-undang yang timbul dalam tunjuk perasaan.
"Beliau menugaskan kepada Ketua Polis dan Panglima TNI agar tidak ragu-ragu mengambil langkah-langkah yang terukur dan tegas terhadap berlakunya kegiatan pelanggaran undang-undang dan juga pelanggaran terhadap penguatkuasaan undang-undang," ujar Encik Sjafrie selepas mesyuarat kabinet.
Menurut Encik Sjafrie, Presiden meminta pihak berkuasa untuk bertindak tegas terhadap tindakan jenayah, termasuk kemusnahan kemudahan awam, harta benda peribadi, sehingga tindakan rompakan.
"Presiden memberi penegasan agar tindakan-tindakan yang bersifat jenayah, sama ada dalam bentuk merosakkan benda, kemudahan awam, dan harta milik peribadi, supaya dilaksanakan satu tindakan yang tegas secara undang-undang," tambahnya.
Encik Sjafrie menekankan, ketegasan pihak berkuasa bukan semata-mata demi kestabilan negara, tetapi juga untuk menjamin keselesaan masyarakat.
"Tetap bersatu dan bekerjasama serta sama-sama bekerja dalam melaksanakan tugas untuk mencapai keselamatan dan keselesaan bagi masyarakat Indonesia secara keseluruhan," katanya, lapor Kompas.com.
Encik Prabowo juga secara khusus meminta pihak berkuasa agar tidak berkompromi terhadap ancaman keselamatan peribadi mahupun rumah pegawai, termasuk tindakan rompakan.
"Polis Republik Indonesia dan TNI akan bersikap tegas terhadap semua hal-hal yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman masyarakat, serta boleh mengganggu kedaulatan NKRI," jelasnya.
Selain pihak berkuasa keselamatan, Encik Prabowo juga menugaskan Ketua BIN Herindra untuk meningkatkan pemantauan perisikan atas dinamik tunjuk perasaan yang masih berkemungkinan berlaku.
"Badan Perisikan Negara ditugaskan untuk terus memantau situasi perisikan dan melaporkan kepada Bapak Presiden pada kesempatan pertama jika terjadi dinamika yang timbul di lapangan," jelas Encik Sjafrie, sepetik dipetik Kompas.com.
Presiden menekankan pentingnya peranan pemerintahdaerah dalam menjaga kestabilan politik dan sosial di tengah situasi yang memanas.
"Menteri Dalam Negeri ditugaskan untuk terus berkoordinasi dan mengendalikan pemerintahan di daerah dan juga mengikuti secara cermat perkembangan ekonomi yang dibutuhkan oleh rakyat," ujar Encik Sjafrie.
Beliau menambah, perpaduan antara pemerintah pusat dan daerah menjadi kunci dalam menjaga kestabilan negara.
"Ini adalah satu keperluan bersama," katanya.
Sejak 25 Ogos 2025, gelombang tunjuk perasaan besar-besaran berlaku di pelbagai bandar di Indonesia.
Tindakan itu dicetuskan oleh kontroversi elaun anggota parlimen serta kenyataan beberapa anggota dewan yang menimbulkan kemarahan awam.
Kemuncaknya, pada 28 Ogos, seorang pemandu ojek online maut selepas digilis kenderaan taktis semasa tunjuk perasaan di Pejompongan, Jakarta Pusat.
Rusuhan meluas dengan berlakunya rompakan ke atas rumah beberapa pegawai, seperti anggota parlimen Ahmad Sahroni, Eko Patrio, Nafa Urbach, sehingga Menteri Kewangan Sri Mulyani.
Bangunan awam juga menjadi sasaran, termasuk bangunan DPRD Makassar dan Gedung Grahadi Surabaya yang dibakar.
Kemudahan awam di beberapa bandar juga mengalami kerosakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.