Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Potong gaji menteri bukan cara tangani kos sara hidup rakyat, kata menteri M'sia

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA NERANG: Cadangan pemotongan gaji dan elaun menteri bukan penyelesaian yang dapat membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sebaliknya keadaan itu perlu ditangani dengan kaedah-kaedah lebih berkesan termasuk seperti yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat (24 Jun) berkaitan tarif elektrik dan harga ayam.

"Pelbagai usaha telah dibuat oleh Perdana Menteri dan pasukan dalam Kabinet khususnya bagi menteri-menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan harga barang seperti Kementerian Kewangan, yang berkaitan dengan ekonomi, perdagangan, pertanian dan kerja raya.

"Mereka ini akan duduk mesyuarat seminggu dua kali bagi membincangkan hal yang berbangkit dan mencari jalan penyelesaian seperti yang diumumkan Perdana Menteri semalam mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga pasaran ayam tidak akan diapungkan," katanya kepada pemberita pada Sabtu (25 Jun). 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz yang mencadangkan pemotongan gaji menteri bagi menunjukkan empati terhadap negara ketika rakyat bergelut dengan krisis ekonomi akibat COVID-19 dan krisis Rusia-Ukraine.

Encik Mahdzir berkata pengekalan harga petrol RON95 pada RM2.05 (S$0.65) seliter juga merupakan antara langkah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata mana-mana pihak yang mempunyai idea yang dapat membantu rakyat berkaitan kos sara hidup, mereka dialu-alukan mengemukakannya kepada kerajaan dan perdana menteri.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan