Pope Leo kecam 'segelintir orang jahat' musnahkan dunia
Pope Leo XIV meninggalkan mesyuarat keamanan di Gereja Saint Joseph di Bamenda, Cameroon, bersama penduduk tempatan pada Khamis, 16 April 2026, pada hari keempat lawatan agamanya selama 11 hari ke Afrika. (Gambar: AP/Andrew Medichini)
Ini selang beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyerangnya di media sosial.
Leo, iaitu Pope pertama Amerika, turut mengecam pemimpin yang menggunakan bahasa keagamaan untuk mewajarkan peperangan dan menggesa "perubahan haluan yang tegas" dalam mesyuarat di bandar terbesar di wilayah berbahasa Inggeris Cameroon, di mana konflik hampir sedekad menyebabkan beribu-ribu orang terkorban.
"Pakar perang berpura-pura tidak tahu bahawa ia hanya memerlukan masa sekejap sahaja untuk memusnahkan, namun biasanya seumur hidup pun tidak cukup untuk pembinaan semula," kata Pope.
"Mereka tidak menghiraukan bahawa berbilion-bilion dolar dibelanjakan untuk pembunuhan dan kemusnahan, namun sumber yang diperlukan untuk penyembuhan, pendidikan dan pemulihan tidak dapat ditemui."
Serangan Encik Trump terhadap Pope Leo, yang pertama kali dilancarkan pada malam sebelum lawatan empat negara Pope itu ke Afrika, dan diulangi lagi pada lewat Selasa, mencetuskan kekecewaan di Afrika, yang didiami lebih satu perlima penganut Katolik dunia.
Pope Leo muncul sebagai pengkritik lantang perang yang bermula dengan serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran.
Encik Trump memulakan kritikannya terhadap Pope Leo pada Ahad, apabila beliau menggelar Pope itu sebagai "lemah berhubung jenayah, dan teruk bagi dasar luar" dalam satu catatan di Truth Social.
Presiden Amerika Syarikat itu menyerang Pope Leo sekali lagi di media sosial lewat hari Selasa.
Pope Leo memberitahu Reuters pada Isnin bahawa beliau tidak akan berhenti bersuara tentang perang Iran dan mengelak daripada memberi respons secara langsung kepada Encik Trump sejak itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.