Pope Francis meninggal dunia pada usia 88 tahun
Pope Francis meninggal dunia pada Isnin (21 Apr) pada usia 88 tahun.
Pope Francis meninggal dunia pada usia 88 tahun. (Gambar fail: AFP/Alberto Pizzoli)
Vatican mengumumkan pemergiannya pada Isnin (21 Apr), sambil mendedahkan bahawa Pope Francis meninggal dunia di kediamannya di Casa Santa Marta, Vatican.
Pope Francis yang berasal dari Argentina sedang menjalani pemulihan di rumah tamu Santa Marta selepas beliau dimasukkan ke hospital selama lima minggu disebabkan oleh masalah radang paru-paru yang mengancam nyawanya.
Pneumonia telah menyebabkan paru-parunya rosak dan menegangkan otot pernafasannya, kata doktor. Selepas dibenarkan keluar hospital pada 23 Mac, beliau pulang ke Vatican untuk menjalani pemulihan selama sekurang-kurangnya dua bulan.
Pada awal April, Vatican menyatakan bahawa X-ray dada mengesahkan "sedikit kemajuan" pada paru-paru Pope Francis dan kemajuan itu juga dilaporkan pada suara dan pernafasannya.
Pope Francis telah mengeluarkan kenyataan, termasuk satu kenyataan pada 16 Mac, mengenai keadaan kesihatannya.
Pope Francis menjadi pemimpin Gereja Katolik pada Mac 2013. Beliau memimpin sekitar 1.3 bilion penganut Katolik di seluruh dunia.
Dilahirkan sebagai Jorge Mario Bergoglio pada 1936, anak kepada pendatang dari Argentina, beliau adalah orang Amerika Latin pertama yang memimpin Gereja Katolik.
Walaupun mengalami beberapa masalah kesihatan, beliau kekal sebagai seorang pope yang aktif, dengan jadual mingguan yang padat dan lawatan ke luar negara yang kerap.
Pada September 2024, beliau menamatkan lawatan empat negara ke Asia Pasifik, termasuk Singapura, yang paling lama dari segi tempoh dan jarak sepanjang peranannya sebagai pope.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.