Pope Francis akui paderi, biskop dera biarawati secara seksual
Pope Francis semalam (5 Feb) mengakui bahawa sebilangan paderi dan biskop Katolik mendera para biarawati secara seksual, yang merupakan skandal terbaru yang menggemparkan institusi gereja.

Pope Francis semasa satu upacara keagamaan di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu. (Gambar: Tony Gentile/Reuters)
VATICAN CITY: Pope Francis semalam (5 Feb) mengakui bahawa sebilangan paderi dan biskop Katolik mendera para biarawati secara seksual, yang merupakan skandal terbaru yang menggemparkan institusi gereja.
"Ada sebilangan paderi dan juga biskop yang pernah melakukan perbuatan itu," kata Pope Francis sebagai memberi respons kepada pertanyaan seorang wartawan berhubung penderaan terhadap para biarawati, semasa dalam penerbangan pulang dari Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Pope Francis membuat pengakuan itu menyusuli satu bantahan pada minggu lalu oleh sebuah majalah wanita di Vatican berhubung penderaan seksual terhadap para biarawati, yang memaksa mereka untuk sama ada menggugurkan kandungan atau membesarkan anak-anak mereka tanpa diterima oleh bapa masing-masing.
Isu itu menarik perhatian pada tahun lalu selepas seorang biarawati menuduh seorang biskop rakyat India merogolnya berkali-kali dalam satu kes yang mencetuskan bantahan dalam kalangan Gereja Katolik di negara itu.
Pope Francis berkata masalah itu boleh berlaku "di mana-mana sahaja", namun ia kerap berlaku di "sesetengah kongregasi baru dan di beberapa rantau."
Beliau berkata pihak gereja sudahpun "menggantung khidmat sebilangan paderi" dan Vatican sedang "berusaha untuk menangani isu itu sejak sekian lama".
Edisi majalah "Women Church World" pada bulan Februari memberi amaran bahawa para biarawati menutup mulut mengenai penderaan yang dialami selama berpuluh-puluh tahun kerana takut diancam.
Menurut majalah itu, Vatican menerima aduan mengenai paderi-paderi yang mendera para biarawati di Afrika pada tahun 1990an.
Bagi kes di India pula, Biskop Franco Mulakkal diberkas pada 21 September di Kerala kerana disyaki merogol seorang biarawati sebanyak 13 kali antara 2014 hingga 2016.
Pope Francis menggantung khidmatnya sehari sebelum dia diberkas dan melantik biskop lain untuk mengambil alih tugasnya. Mulakkal, 53, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.