Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pompeo umum sekatan baru ke atas diplomat China di AS

Amerika Syarikat mengumumkan pada Khamis (3 Sep) bahawa ia akan mewajibkan diplomat kanan dari China untuk mendapatkan kelulusan Jabatan Negara sebelum mengunjungi kampus universiti Amerika Syarikat atau mengadakan acara kebudayaan dengan lebih daripada 50 orang di luar kawasan kedutaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pompeo umum sekatan baru ke atas diplomat China di AS

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo di Budapest, Hungary pada 12 Feb 2019 (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 03 Sep 2020 07:49PM Dikemas Kini : 03 Sep 2020 07:56PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan pada Khamis (3 Sep) bahawa ia akan mewajibkan diplomat kanan dari China untuk mendapatkan kelulusan Jabatan Negara sebelum mengunjungi kampus universiti Amerika Syarikat atau mengadakan acara kebudayaan dengan lebih daripada 50 orang di luar kawasan kedutaan.

Washington mengambil langkah tersebut sebagai tindak balas terhadap sekatan Beijing ke atas diplomat Amerika Syarikat di China. Langkah itu sebahagian daripada kempen pentadbiran Encik Donald Trump menentang apa yang didakwanya sebagai operasi pengaruh dan pengintipan China.

Jabatan Negara menyatakan pihaknya juga akan mengambil tindakan untuk memastikan semua akaun media sosial kedutaan dan konsular China "dikenal pasti dengan betul".

"Kami hanya menuntut timbal balik," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dalam satu taklimat media. "Akses untuk diplomat kami di China harus mencerminkan akses yang dinikmati diplomat China di Amerika Syarikat, dan langkah-langkah hari ini merupakan usaha kami ke arah itu."

Langkah tersebut adalah yang terbaru oleh Washington untuk menyekat kegiatan China di Amerika Syarikat menjelang pilihan raya presiden pada November.

Presiden Trump menggunakan pendirian tegasnya terhadap China sebagai umpan membantu kempen pilihan rayanya.

Kedutaan China di Washington menyifatkan langkah itu sebagai "satu lagi sekatan dan halangan yang tidak wajar terhadap anggota diplomatik dan konsular China" yang "bertentangan dengan nilai-nilai keterbukaan dan kebebasan yang diisytiharkan pihak AS sendiri".

Encik Pompeo turut berkata bahawa Jabatan Negara telah menulis surat baru-baru ini kepada lembaga universiti di Amerika untuk memberi amaran mengenai ancaman yang ditimbulkan oleh Parti Komunis China.

"Ancaman ini boleh datang dalam bentuk pendanaan haram bagi penyelidikan, pencurian hak milik intelek, ugutan terhadap pelajar asing dan usaha merekrut bakat, " kata Encik Pompeo.

Beliau berkata pihak universiti dapat membantu memastikan mereka mempunyai dana pelaburan dan endowmen yang telus dengan mendedahkan firma China tersenarai dalam dana tersebut dan menggugurkan mereka yang berkaitan dengan pelanggaran hak asasi manusia.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan