Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Politik negara stabil, lebih banyak pelaburan luar akan masuk ke M'sia: Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
 Politik negara stabil, lebih banyak pelaburan luar akan masuk ke M'sia: Ismail Sabri

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob. (Gambar fail: Bernama)

HANOI: Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob berkata politik di Malaysia stabil ketika ini dan beliau yakin lebih banyak pelaburan luar akan memasuki negara.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, Encik Ismail Sabri berkata buat julung-julung kalinya pembangkang dan kerajaan boleh duduk bersama untuk berbincang isu berkaitan negara.

Beliau berkata berikutan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang, walaupun terdapat perbezaan pandangan pembangkang tidak terlalu emosional dan mereka menyokong kerajaan dalam sidang Parlimen.

“Keadaan politik stabil ketika ini, sebab itu kita yakin lebih banyak pelaburan luar akan masuk ke Malaysia, namun ramai yang minta diadakan pilihan raya lebih awal. Kami risau juga jika pilihan raya lebih awal, kestabilan mungkin tidak dapat dikekalkan.

“Alhamdulillah, politik kita stabil. Bolehlah balik Malaysia,” kata beliau dalam nada bergurau yang disambut ketawa kecil para hadirin.

Encik Ismail Sabri berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di sini sempena lawatan rasmi beliau ke Vietnam selama dua hari bermula hari Ahad (20 Mac).

Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri memberi contoh pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

“Pindaan Perlembagaan bukan seperti rang undang-undang lain yang hanya perlukan majoriti mudah ...untuk pindaan Perlembagaan, mesti dapat dua pertiga majoriti dan undi ini secara individu bukan lebih suara… jadi, keadaan politik adalah stabil,” kata beliau.

Beliau tiba di Hanoi pada pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan dan lawatan rasmi sulungnya sebagai Perdana Menteri Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan