Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Politik Malaysia dijangka terus bertiup kencang pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Politik Malaysia dijangka terus bertiup kencang pada 2023

Pengerusi GRS Hajiji Noor, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Pengerusi GPS Abang Johari Openg, dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal semasa acara memeterai perjanjian persefahaman kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan pada 16 Dis 2022. (Gambar: Jabatan Perdana Menteri Malaysia/BERNAMA)

BERITAMediacorp: Meniti tahun baru 2023 dalam masa satu dua hari lagi, drama politik Malaysia belum berakhir.

Ini meskipun negara itu buat julung-julung kalinya berjaya membentuk sebuah kerajaan perpaduan hasil keputusan tiada majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, cabaran pertama pada 2023 yang bakal ditempuhi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah seawal 11 Januari nanti.

Ini apabila parti UMNO bakal mengadakan Perhimpunan Agung 2022 selama empat hari.

PERGELUTAN DALAM UMNO DIJANGKA PADA 11-14 JANUARI

Mendapat perhatian utama adalah nasib Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Presiden UMNO.

Bukan saja beliau berdepan dengan 47 pertuduhan mahkamah, Encik Ahmad Zahid juga perlu bersemuka dengan desakan lantang dalam kalangan anggota UMNO untuk beliau meletak jawatan sebagai Presiden.

Ini setelah komponen dianggotai UMNO, Barisan Nasional, mengalami kekalahan PRU paling teruk dalam sejarah.

Walaupun belum pasti jika pilihan bagi kepimpinan baru UMNO akan diadakan dalam Perhimpunan Agung itu, perpecahan ketara dapat dilihat terutama sekali dalam kalangan anggota veteran UMNO yang masih berpegang kepada slogan 'No Anwar, No DAP'.

Persoalannya kini, jika UMNO memilih Presiden baru yang lebih cenderung untuk tidak menyokong Anwar Ibrahim, bagaimanakah ia akan menjejas kerajaan ke-15 Malaysia?

Bagaimanakah juga kedudukan Ahmad Zahid Hamidi dalam kerajaan perpaduan?

Pengasas badan pemikir Merdeka Centre Ibrahim Suffian memberitahu Mediacorp: "Apa yang berlaku di situ saya rasa akan menentukan kestabilan kerajaan Malaysia.

"Jika seseorang yang dipilih agak sukar bekerjasama dengan Anwar Ibrahim atau Pakatan Harapan, penakatan dan kestabilan kerajaan akan dipersoalkan."

6 PRN BAKAL JADI UJIAN TERHADAP KEPIMPINAN ANWAR IBRAHIM

Satu lagi ujian yang perlu diatasi PM Anwar Ibrahim adalah enam Pilihan Raya Negeri yang perlu diadakan menjelang bulan Julai 2023.

Ini bermakna kerajaan perpaduan PM Anwar Ibrahim perlu pantas mencatat kecemerlangan demi mempertahankan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Mentelah lagi, gelombang hijau Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di bawah kem pembangkang Perikatan Nasional (PN)yang memanfaatkan retorik kaum dan agama terus mengukuhkan pengaruhnya di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Dengan corak undian juga mencerminkan politik identiti dan retorik semasa berkempen PRU15 juga sama, ia akan terus menjadi cabaran. Apatah lagi, kem pembangkang majoritinya pembangkang Melayu Muslim.

"Di sinilah Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri perlu menyatukan perpecahan dan membawa Malaysia maju ke hadapan," kata Pengarah Strategi KRA Group Amir Fareed kepada Mediacorp.

Jelas sekali, 2022 bukanlah satu titik noktah tetapi sekadar titik tolak bagi suhu politik Malaysia terus bertiup kencang pada 2023.

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan