Polis Vietnam soal siasat penjual mi susuli video parodi cef selebriti 'Salt Bae'
Polis Vietnam memanggil seorang penjual mi daging untuk disoal siasat setelah dia merakam dirinya meniru gelagat Nusret Gokce atau 'Salt Bae'.
(Gambar: Reuters)
HANOI: Polis Vietnam memanggil seorang penjual mi daging untuk disoal siasat setelah dia merakam dirinya meniru gelagat Nusret Gokce atau 'Salt Bae'.
Baru-baru ini seorang pegawai kanan Vietnam dirakam sedang menikmati daging stik bersalut emas di restoran milik cef selebriti dari Turki itu di London.
Penjual mi itu, Bui Tuan Lam, 38 tahun, yang berasal dari Danang, berkata niatnya menghasilkan video itu, bukanlah untuk mempersendakan mana-mana individu.
Dalam video itu, Lan ditunjukkan memotong daging yang direbus dengan secara bergaya lalu menabur daun bawang ke dalam semangkuk mi sup.
"Video itu saya buat secara suka-suka sahaja untuk mengiklankan kedai mi daging saya. Lebih ramai pelanggan datang ke kedai saya sejak saya memuat naik video itu," kata Lam yang menambah bahawa dia tidak jelas jika polis memanggilnya kerana video itu.
Pada minggu lalu, Gokce memuat naik video beliau memberi makan daging disaluti emas kepada Menteri Keselamatan Awam Vietnam, To Lam, di restorannya di London di mana daging stik tersebut dijual pada harga sehingga 1,450 paun (S$2,651).
LAPORAN BERKAITAN: Rakyat Vietnam marah menteri makan stik disaluti daun emas
Beberapa hari kemudian, Facebook menyatakan ia tidak lagi sekat tanda pagar #saltbae setelah mendapati tanda pagar itu disekat di seluruh dunia menyusuli kemunculan video tersebut.
Polis Vietnam secara rutin memanggil aktivis dan individu yang mengkritik Parti Komunis secara terbuka untuk disoal siasat.
Polis Danang tidak segera menjawab pertanyaan melalui emel untuk mengulas tindakannya itu.
Lam, yang sebelum ini mengkritik pihak berkuasa melalui Facebook, berkata dia "lantang bersuara demi kebaikan masyarakat", dan polis sebelum ini memanggilnya bagi disoal siasat pada April lalu, tanpa memberitahu sebabnya.
Dia menggelarkan dirinya sebagai "Green Onion Bae" dalam catatan Facebook yang mengiringi video tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.