Polis UK isytihar kejadian tikaman di Reading sebagai 'pengganasan'
Polis Britain pada Ahad (21 Jun) menyatakan bahawa pihaknya menganggap kejadian tikaman melibatkan seorang penyerang yang bertindak sendiri dan membunuh tiga orang di sebuah taman di Reading, selatan England sebagai satu "kejadian pengganasan".
Polis mengepung tempat kejadian tikaman di Reading, Britain (Gambar: AFP/Adrian DENNIS)
LONDON: Polis Britain pada Ahad (21 Jun) menyatakan bahawa pihaknya menganggap kejadian tikaman melibatkan seorang penyerang yang bertindak sendiri dan membunuh tiga orang di sebuah taman di Reading, selatan England sebagai satu "kejadian pengganasan".
"Polis Anti Pengganasan sekarang boleh mengesahkan bahawa kejadian tikaman yang berlaku di Reading malam tadi, kini diisytiharkan sebagai kegiatan pengganas," kata Polis Thames Valley dalam satu kenyataan.
Polis menyatakan seorang lelaki berusia 25 tahun yang ditangkap kerana disyaki membunuh malam tadi telah ditahan.
"Ini adalah kejadian yang sangat menyedihkan dan ingatan Polis Thames Valley adalah bersama semua orang yang terjejas," kata ketua konstabel John Campbell.
Beliau menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan meminta sesiapa yang mempunyai rakaman video mengenai kejadian itu agar memaklumkan pihak berkuasa.
"Atas rasa hormat terhadap mereka yang terkorban dan cedera serta orang-orang tersayang yang ditinggalkan mangsa, tolong jangan sebarkan rakaman ini di media sosial - ini akan amat menggusarkan mereka," tambahnya.
MANGSA-MANGSA DITIKAM "SECARA RAMBANG"
Para saksi sebelum ini melaporkan melihat dua ambulans udara dan beberapa kereta polis dikerahkan ke taman itu pada Sabtu malam.
Seorang saksi berkata beliau melihat seorang penyerang berjalan bersendirian dan melintasi taman yang dipenuhi orang ramai yang duduk santai di atas rumput dan menikam mereka secara rambang.
Saksi itu, Lawrence Wort memberitahu Press Association beliau melihat tiga orang ditikam "di bahagian leher dan di bawah lengan".
Penyerang kemudian menerpa ke arah sebuah lagi kumpulan dan "menikam seorang di belakang lehernya", tambahnya.
Perdana Menteri Boris Johnson mengecam "kejadian menggerunkan itu" dan para anggota politik melahirkan rasa simpati kepada mereka yang cedera di Forbury Gardens.
Setiausaha Dalam Negeri Priti Patel menyifatkannya sebagai "serangan tidak masuk akal terhadap orang-orang yang menikmati malam Sabtu dengan rakan-rakan".
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.