Skip to main content

Dunia

Polis tidak akan dibubarkan atau dihenti pendanaan: Trump

Ketika desakan supaya jabatan polis di seluruh Amerika Syarikat (AS) dibubarkan atau penyaluran dana dihentikan, Presiden AS, Donald Trump, pada Isnin (8 Jun) menegaskan kedua-duanya tidak akan berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tidak akan dibubarkan atau dihenti pendanaan: Trump

Presiden Trump. (Gambar: Alex Brandon/AP Photo)

Diterbitkan : 09 Jun 2020 02:46PM Dikemas Kini : 09 Jun 2020 02:49PM

WASHINGTON: Ketika desakan supaya jabatan polis di seluruh Amerika Syarikat (AS) dibubarkan atau penyaluran dana dihentikan, Presiden AS, Donald Trump, pada Isnin (8 Jun) menegaskan kedua-duanya tidak akan berlaku.

"Kita tidak akan menghentikan penyaluran dana. Kita tidak akan bubarkan polis," kata Encik Trump pada perbincangan meja bulat bersama pegawai penguat kuasa undang-undang.

"Polis sudah berusaha memastikan kita dapat hidup dengan aman dan kami mahu memastikan tiada individu yang salah menyertainya dan kadang kala akan ada perkara yang buruk seperti kejadian baru-baru ini, namun 99 peratus daripada mereka adalah orang yang baik dan menjalankan tugas dengan cemerlang," katanya.

Kematian George Floyd pada 25 Mei lalu mencetuskan kemarahan terhadap keganasan polis dan ketidakadilan kaum, yang membawa kepada bantahan di seluruh AS, dengan ada antaranya bertukar ganas dan pencurian dilaporkan.

Rakaman tangkapan yang membawa kematian itu menunjukkan Floyd digari dalam keadaan terlentang di atas jalan sambil seorang anggota polis melutut di atas lehernya selama hampir sembilan minit, serta tidak mengendahkan lelaki itu yang merayu tidak dapat bernafas.

Pegawai polis itu, Derek Chauvin, terus menahan lelaki kulit hitam itu dalam kedudukan berkenaan walaupun selepas Floyd kelihatan sudah tidak sedarkan diri.

Susulan itu, Chauvin didakwa dengan pertuduhan membunuh, manakala tiga anggota polis lain yang berada di lokasi didakwa dengan pertuduhan menolong dan bersubahat.

Kematian Floyd serta tindakan agresif polis menahan penunjuk perasaan berulang kali, meningkatkan lagi gesaan di bandar seluruh negara itu supaya penyaluran dana kepada jabatan polis dihentikan, atau dibubarkan.

Di Minneapolis, Minnesota, lokasi kematian Floyd, majoriti anggota Majlis Perbandaran menyatakan sokongan terhadap pembubaran jabatan polis di situ, namun Datuk Bandar, Jacob Frey menentang cadangan itu. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita