Polis Thailand tahan suspek muat naik gambar anti kerajaan di Facebook
Polis Thailand menahan seorang suspek yang bertanggungjawab memuat naik gambar dianggap "tidak sesuai" dari rapat umum anti kerajaan di Facebook, menurut seorang menteri hari ini (18 Dis).
Gambar fail polis Thailand. (Gambar: AFP/Pornchai Kittiwongsakul)
BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang suspek yang bertanggungjawab memuat naik gambar dianggap "tidak sesuai" dari rapat umum anti kerajaan di Facebook, menurut seorang menteri hari ini (18 Dis). Gambar yang menyinggung perasaan itu tular beberapa hari selepas bantahan terbesar diadakan sejak pilihan raya Mac lalu.
Ribuan penduduk menyertai bantahan di Bangkok itu pada Sabtu, diketuai pemimpin pembangkang popular, Thanathorn Juangroongruangkit dan barisan eksekutif parti politiknya, Future Forward Party (FFP).
Sambil mengibarkan sepanduk bertulis ‘kuku besi’ dan mendesak agar perdana menteri Prayut Chan-O-Cha meletak jawatan, tunjuk perasaan tersebut berlangsung dengan aman selama sejam.
Acara itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan pihak berkuasa. Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat, Buddhipongse Punnakanta menarik perhatian terhadap "catatan mengenai sekeping gambar yang mengecewakan semua rakyat Thailand."
Gambar tersebut memaparkan imej seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk dengan isyarat berbaur lucah.
Gambar mendiang Raja Bhumibol Adulyadej turut jelas kelihatan di belakang sepanduk itu.
Thailand terkenal sebagai antara negara dengan undang-undang paling ketat di dunia yang menghalang penghinaan terhadap keluarga diraja, namun pihak berkuasa tidak berikan perincian dakwaan yang akan dikenakan ke atas suspek.
Encik Buddhipongse berkata, beliau sudah menjalankan siasatan sebelum suspek ditahan namun enggan memberi butiran lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.