Polis Thai ditembak di kepala ketika buru penunjuk perasaan antikerajaan
Seorang anggota polis yang memburu penunjuk perasaan antikerajaan, yang melarikan diri ke flat Din Daeng di Bangkok, cedera parah setelah ditembak di kepala oleh orang tidak dikenali.
(Gambar hiasan: AFP)
BANGKOK: Seorang anggota polis yang memburu penunjuk perasaan antikerajaan, yang melarikan diri ke flat Din Daeng di Bangkok, cedera parah setelah ditembak di kepala oleh orang tidak dikenali.
Media tempatan melaporkan insiden itu berlaku kira-kira pukul 10.45 malam (waktu tempatan) Rabu (6 Okt) di flat yang terletak berhampiran persimpangan Din Daeng, lokasi penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan polis hampir setiap hari sejak Ogos.
Flat Din Daeng merupakan tempat perlindungan para penunjuk perasaan yang melarikan diri daripada polis.
Timbalan jurucakap polis, Kol Kissana Phathanacharoen, berkata anggota polis itu dikejarkan ke Hospital Besar Polis.
"Beliau masih dalam keadaan kritikal," katanya semasa sidang media di Bangkok, hari ini (7 Okt).
Thai PBS melaporkan sebutir peluru dipercayai menembusi topi keledar pegawai itu dan terbenam di tengkoraknya.
Bulan lalu, penduduk flat Din Daeng membuat aduan polis terhadap penunjuk perasaan kerana dikatakan menyerang mereka. Sekumpulan lagi penduduk menuntut ganti rugi atas kerosakan yang disebabkan oleh penunjuk perasaan di flat Din Daeng.
Pada Rabu, Kissana mengatakan para penunjuk perasaan berkumpul di persimpangan Din Daeng dan Jalan Mitmaitree. Mereka juga melemparkan mercun dan bom ping pong ke arah polis.
"Polis memulakan operasi pada pukul 10.30 malam dengan mematuhi undang-undang dan arahan. Polis menahan 28 penunjuk perasaan,” katanya.
Media tempatan melaporkan mereka yang ditahan termasuk kanak-kanak bawah umur berusia 13 tahun.
Polis forensik dan pasukan pelupusan bom sudahpun memeriksa pangsapuri Din Daeng dan kawasan berhampiran pada Khamis.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menzahirkan simpatinya terhadap anggota polis yang cedera parah ketika bertugas
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.