Polis terima laporan kes dera libatkan pengasuh sama dikaitkan dengan kematian bayi 9 bulan
Polis Perak menerima satu lagi laporan daripada sebuah keluarga mendakwa anak mereka didera pengasuh yang sama yang dikaitkan dengan kematian seorang bayi lelaki, Isnin lalu.

Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)
IPOH: Polis Perak menerima satu lagi laporan daripada sebuah keluarga mendakwa anak mereka didera pengasuh yang sama yang dikaitkan dengan kematian seorang bayi lelaki, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Perak SAC Yahya Abd Rahman berkata keluarga terbabit membuat aduan polis dua hari lalu mendakwa bayi lelaki mereka berumur sembilan bulan didera pengasuh sama.
Keluarga itu, katanya, mendakwa sepanjang tempoh sembilan bulan menghantar bayi ke rumah pengasuh berkenaan, terdapat tiga insiden kecederaan di bahagian telinga dan kepala anak mereka.
"Keluarga berkenaan berhenti menghantar anak mereka sebelum kes kematian itu disebabkan sudah ada tiga insiden kecederaan terhadap anaknya, namun mereka tidak pernah membuat aduan polis.
"Tetapi selepas mengetahui kematian bayi pada Isnin lalu yang melibatkan pengasuh sama, mereka tampil membuat laporan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini (1 Feb).
Sehubungan itu, SAC Yahya berkata walaupun tiada tangkapan dibuat namun pihaknya percaya dengan maklumat terbaharu, kes kematian bayi lelaki pada Isnin lalu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Isnin lalu, Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar, sembilan bulan, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Paediatrik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, pada jam 2.49 petang selepas dipercayai didera pengasuh di Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada 25 Jan lepas.
Mengenai kematian Muhammad Firas Danial, SAC Yahya berkata polis masih menunggu laporan penuh pegawai perubatan.
Katanya laporan awal bedah siasat mendapati bayi tersebut meninggal dunia akibat darah beku di kepala dipercayai berpunca daripada goncangan kuat.
"Terdapat dua kesan darah beku di kepala bayi berkenaan dan perkara itu tidak boleh berlaku melainkan bayi tersebut digoncang dengan kuat hingga menyebabkan otak bergegar," katanya sambil menambah, kes disiasat mengikut Akta Kanak-kanak 2001.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.