Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis Terengganu terima aduan penipuan umrah; lebih RM200,000 lesap

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Terengganu terima aduan penipuan umrah; lebih RM200,000 lesap

(Gambar hiasan: Abdel Ghani Bashir/AFP)

KUALA TERENGGANU: Polis menerima lima aduan berkaitan kes penipuan pakej umrah dan haji oleh dua syarikat dengan jumlah kerugian RM214,315 (S$64,600).

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata empat aduan diterima pada Ahad (3 Apr) melibatkan sebuah syarikat, manakala satu aduan diterima pada Isnin (4 Apr) membabitkan sebuah agensi pelancongan, umrah dan haji di Alor Setar, Kedah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terhadap syarikat yang menawarkan pelbagai pakej menarik untuk mengaburi pelanggan.

"Tahun ini, setakat ini kita ada lima laporan kes penipuan melibatkan kerugian lebih RM200,000 (S$60,240) berbanding hanya dua kes pada tahun lalu dengan jumlah kerugian RM120,000 (S$36,150).

"Untuk kes hari ini, syarikat tersebut sebenarnya beribu pejabat di Alor Setar tetapi laporan dibuat di Kuala Terengganu kerana mangsa dan transaksi wang dilakukan dari sini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Isnin (3 Apr).

Encik Rohaimi berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai mangsa akan membuat aduan polis dalam masa terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, seorang mangsa, Ahmad Kashfi Ab Rahman, berkata beliau serta 14 ahli keluarga sepatutnya mengerjakan umrah pada 28 Februari lalu tetapi ditunda kepada 3 Mac atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun, penjawat awam itu dimaklumkan oleh abangnya bahawa pihak syarikat telah membatalkan penerbangan tersebut dan akan memberi tarikh baru untuk mereka sekeluarga berangkat ke tanah suci.

"Saya dan abang kemudiannya cuba menghubungi syarikat berkenaan melalui pelbagai cara tetapi tiada jawapan.

"Kami nekad membuat laporan polis kerana merasa tertipu. Kami juga mendapat tahu bahawa syarikat ini memang bermasalah dan ada juga mangsa lain dari Terengganu yang turut terpedaya," katanya ketika ditemui selepas membuat aduan polis pada Isnin.

Encik Ahmad Kashfi berharap pihak polis dapat mengambil tindakan lebih tegas serta memantau ketat syarikat umrah dan haji bagi mengelakkan lebih ramai anggota masyarakat daripada terperdaya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan