Skip to main content

Dunia

Polis tembak tayar kereta lelaki disyaki penyalah guna dadah; cuba rempuh polis trafik

 Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan yang dinaiki dua individu dipercayai di bawah pengaruh dadah selepas melarikan diri dan cuba merempuh dua anggota polis dalam kejadian di Jalan Gurney dan Jalan Raja Chulan, Khamis lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tembak tayar kereta lelaki disyaki penyalah guna dadah; cuba rempuh polis trafik

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 26 Dec 2020 02:10PM Dikemas Kini : 26 Dec 2020 02:13PM

KUALA LUMPUR: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan yang dinaiki dua individu dipercayai di bawah pengaruh dadah selepas melarikan diri dan cuba merempuh dua anggota polis dalam kejadian di Jalan Gurney dan Jalan Raja Chulan, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, sepasukan anggota polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier di Jalan Gurney yang dipandu lelaki berusia 26 tahun bersama seorang wanita berumur 24 tahun dalam keadaan mencurigakan, namun enggan berhenti selepas diarahkan supaya berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata sebaliknya, suspek bertindak memecut kenderaannya ke arah Jalan Tun Razak sebelum terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Apabila anggota polis menghampiri kenderaan tersebut suspek cuba melanggarnya menyebabkan satu das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah tayar belakang kereta itu.

”Bagaimanapun, suspek meneruskan pemanduan secara melulu dan berbahaya ke arah pusat bandar serta melanggar beberapa kenderaan serta cuba melanggar seorang anggota trafik di Jalan Raja Chulan,” katanya dalam kenyataan hari ini (26 Dis).

Kedua-dua suspek kemudiannya berjaya ditahan di hadapan Lot 10, Bukit Bintang akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Encik Rajab berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melarikan diri kerana takut ditahan polis disebabkan berada dalam pengaruh dadah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu dan ganja.

Semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, curi dan pecah rumah. Kedua-dua suspek kini direman lima hari sehingga Selasa depan.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 akta yang sama, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan memiliki buku lima besi.

Awal dari itu, satu rakaman video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang anggota polis trafik cuba memecahkan cermin sebuah pacuan empat roda menggunakan topi keledar selepas pemandu itu cuba melanggar pihak berkuasa yang menahannya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita