Skip to main content

Dunia

Polis tembak mati penyerang bersenjatakan pisau di Paris

Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau mengamuk di sebuah taman di selatan Paris pada Jumaat (3 Jan), membunuh seorang lelaki yang sedang bersama isterinya dan mencederakan dua mangsa lain sebelum ditembak mati oleh polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tembak mati penyerang bersenjatakan pisau di Paris

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 04 Jan 2020 11:07AM Dikemas Kini : 04 Jan 2020 11:11AM

PARIS: Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau mengamuk di sebuah taman di selatan Paris pada Jumaat (3 Jan), membunuh seorang lelaki yang sedang bersama isterinya dan mencederakan dua mangsa lain sebelum ditembak mati oleh polis.

Jabatan Polis Paris menyatakan bahawa penyerang, yang dikenal pasti sebagai Nathan C, 22 tahun, menyerang beberapa individu sekitar waktu makan tengah hari di bandar Villejuif.

Sebilangan penduduk di bandar itu berjaya melarikan diri namun suspek membunuh seorang penduduk setempat berusia 56 tahun, menurut datuk bandar Villejuif, Encik Franck Le Bohellec.

Menurut beliau, mangsa sedang bersama isterinya apabila dihampiri penyerang lalu ditikam ketika cuba melindungi isterinya.

Menurut sumber terdekat dengan siasatan polis, seorang lagi lelaki cedera parah manakala seorang wanita lain cedera ringan akibat insiden itu.

Penyerang itu kemudian meninggalkan tempat kejadian lalu menuju ke kawasan kejiranan Hay-les-Roses di mana dia ditembak mati oleh pihak berkuasa.

Sekeping gambar yang dikirimkan kepada AFP menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terbaring di jalan di sebuah persimpangan.

“Kami terdengar jeritan dan tiga das tembakan. Saya menuju ke luar untuk melihat apa yang berlaku.

“Saya mendengar lagi lima atau enam das tembakan dan bunyi semboyan. Kami kemudian bersembunyi di dalam garaj bagi menyelamatkan diri,” kata Encik Rouane Yazid, 40 tahun.

Menurut beberapa sumber, Nathan C mengalami masalah psikologi.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita