Skip to main content

Dunia

Polis tembak mati dalang geng samun, pecah rumah di Kuala Lumpur

Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai dalang utama kegiatan samun dan pecah rumah dalam kejadian di Jalan Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada awal pagi Rabu (6 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tembak mati dalang geng samun, pecah rumah di Kuala Lumpur

Kejadian tembak-menembak pada awal pagi 6 Ogos di sepanjang Jalan Bukit Tunku berlaku selepas polis memintas suspek yang dipercayai sedang meninjau-ninjau rumah-rumah yang berpotensi untuk dirompak. (Gambar: Polis Diraja Malaysia)

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai dalang utama kegiatan samun dan pecah rumah dalam kejadian di Jalan Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada awal pagi Rabu (6 Ogos).

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Fadil Marsus berkata suspek berusia 36 tahun itu mempunyai 44 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, dan aktif dalam kegiatan pecah rumah serta samun sejak tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak, melibatkan kerugian melebihi RM1 juta (S$305,126.10).

Menurut beliau, lelaki terbabit dikesan menaiki kereta jenis BMW di lokasi kejadian oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Kuala Lumpur yang melakukan tugasan mencegah jenayah melalui Op Api KL 3/2025 pada pukul 4.10 pagi.

“Ketika percubaan untuk memintas kenderaan tersebut, berlaku insiden berbalas tembakan yang mengakibatkan suspek maut di tempat kejadian. Beberapa kesan tembakan turut dikesan pada kenderaan polis,” katanya semasa sidang media di lokasi kejadian, pada Rabu.

Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol jenis revolver, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun, serta jaket polis.

Encik Fadil berkata semakan mendapati kenderaan BMW itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai diseludup masuk dari luar negara.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan kumpulan jenayah terbabit menyasarkan rumah kediaman dan premis perniagaan yang mempunyai peti besi, jongkong emas serta wang tunai, dan dipercayai turut menyamar sebagai anggota polis bagi melancarkan kegiatan mereka.

“Kita percaya kumpulan ini juga terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan mempunyai belasan anggota. Usaha mengesan baki ahli kumpulan itu sedang giat dijalankan,” kata Encik Fadil.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita