Polis tangkap lelaki di Seoul, muat naik ancaman online terhadap Presiden Yoon
SEOUL: Polis Korea Selatan pada Sabtu (4 Jun) memberkas seorang lelaki yang didakwa memuat naik mesej online, membuat ancaman serangan ganas terhadap rumah Presiden Yoon Suk-yeol.
Lelaki itu yang berusia lewat remaja ditangkap di pulau Geoje, sekitar 400 kilometer selatan Seoul, lapor agensi berita Yonhap yang memetik Stesen Polis Seocho di Seoul.
Lelaki tersebut dipercayai memuat naik catatan ke sebuah forum online pada Khamis (2 Jun), mengancam untuk melancarkan serangan ganas terhadap rumah peribadi Presiden Yoon di selatan Seoul pada 6.00 pagi Jumaat (3 Jun). Dia dilaporkan mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Setelah perkongsian itu dilaporkan kepada Agensi Perisikan Nasional, stesen polis mempertingkatkan kawalan di sekitar rumah Presiden Yoon, termasuk mengerahkan pasukan komando polis.
Sejak menyandang jawatan Presiden pada 10 Mei, Encik Yoon melakukan perjalanan antara rumah peribadinya ke pejabat presiden di Yongsan, pusat Seoul, tambah Yonhap.
Beliau memindahkan pejabat presiden dari Cheong Wa Dae ke bekas bangunan kementerian pertahanan, sejajar dengan ikrar kempennya untuk menjadi lebih rapat dengan penduduk Korea Selatan. Presiden Yoon merancang untuk berpindah ke kediaman rasmi baru yang sedang menjalani kerja-kerja ubah elok sekarang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.