Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis tahan suspek serangan tikaman kedua di Korea Selatan dalam tempoh 2 hari

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tahan suspek serangan tikaman kedua di Korea Selatan dalam tempoh 2 hari

(Gambar: AP/Kang Soo-hwan/Yonhap)

SEOUL: Polis Korea Selatan sudah memberkas lelaki yang disyaki menikam seorang guru sekolah menengah dengan sebilah pisau pada Jumaat (4 Ogos) di bandar Daejeon.

Serangan tikaman itu berikutan satu lagi serangan berasingan pada Khamis (3 Ogos), di mana 14 orang cedera berdekatan sebuah stesen kereta api yang sibuk di Seongnam.

Pegawai di Agensi Polis Metropolitan Daejeon tidak mengeluarkan butiran peribadi suspek yang menyerang guru Sekolah Menengah Songchon pada pagi Jumaat. Polis hanya menyifatkannya sebagai seorang lelaki dalam lingkungan 20-an.

Menurut polis, suspek menunggu guru tersebut untuk keluar dari kelas sebelum menikamnya dan melarikan diri dari tempat kejadian. Mereka dipercayai
mengenali satu sama lain, tambah polis.

Pegawai jabatan polis dan bomba tidak mendedahkan keadaan guru itu.

Serangan di Daejeon, kira-kira 120 kilometer selatan dari Seongnam, berlaku beberapa jam selepas Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol menggesa langkah-langkah undang-undang "lebih kuat" dikuatkuasakan untuk menenangkan orang awam berikutan keganasan yang berlaku pada Khamis. Beliau menyifatkan insiden itu sebagai "serangan pengganas ke atas rakyat tidak bersalah".

Sekurang-kurangnya dua orang berada dalam keadaan mengancam nyawa berikutan serangan di Seongnam pada Khamis, di mana sebuah kereta merempuh laluan pejalan kaki sebelum pemandu keluar dari kereta dan menikam orang secara rawak.

Kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah yang bersambung dengan stesen kereta api Seohyeon, yang berada di tengah-tengah kawasan riadah dan perniagaan yang sibuk.

Sekurang-kurangnya dua daripada lima orang yang mengalami kecederaan dari rempuhan kereta itu dihantar ke hospital dalam keadaan kritikal.

Lapan dari sembilan orang yang ditikam dirawat bagi kecederaan serius, menurut pegawai bomba Wilayah Gyeonggi.

Serangan pada Khamis merupakan kes serangan tikaman besar-besaran melibatkan sasaran rawak kedua dalam tempoh sebulan di negara itu.

Dalam respons kepada serangan pada Khamis, Encik Yoon menggesa untuk meningkatkan pemantau terhadap media sosial untuk mengesan ancaman, mengerahkan lebih ramai pegawai pegawai penguat kuasa undang-undang dalam usaha pencegahan dan menyediakan mereka dengan senjata lebih baik, menurut pejabatnya.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan