Polis tahan suami isteri disyaki eksploitasi kanak-kanak, remaja
Polis menahan sepasang suami isteri warga Malaysia kerana disyaki mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja untuk melakukan kerja di sebuah rumah di Taman Bukit Seputeh semalam (31 Mei).
(Gambar hiasan: Mediacorp)
KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang suami isteri warga Malaysia kerana disyaki mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja untuk melakukan kerja di sebuah rumah di Taman Bukit Seputeh semalam (31 Mei).
Ketua Polis Daerah Brickfields Penolong Pesuruhjaya Anuar Omar berkata susuli serbuan itu, polis berjaya menyelamatkan lima kanak-kanak dan remaja berusia antara lapan hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang.
Beliau berkata serbuan dilakukan selepas satu aduan yang dibuat oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun petang semalam yang mendakwa beliau dipukul oleh pasangan berkenaan dan dipaksa melakukan kerja rumah.
“Pengadu telah berjaya melarikan diri dari rumah itu pada 10.00 pagi semalam dan datang ke balai polis untuk membuat aduan.
“Hasil siasatan awal mendapati pengadu dan 16 kanak-kanak yang lain telah diambil oleh pasangan berusia 55 dan 54 tahun itu dari sebuah rumah anak yatim di Kulim, Kedah pada 2017 untuk melakukan kerja rumah sepanjang hari,” katanya.
Menurut beliau seramai 14 orang daripada kanak-kanak itu melarikan diri kerana tidak tahan melakukan kerja rumah secara paksa dan dipukul jika tidak mengikut arahan pasangan berkenaan.
Anuar berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan reman terhadap pasangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 di bawah kesalahan pemerdagangan kanak-kanak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.