Polis tahan lebih 200 penunjuk perasaan menentang larangan COVID-19
Polis Turki menahan lebih 200 orang yang cuba mengadakan perhimpunan Hari Buruh di bandar Istanbul pada Sabtu (1 Mei) kerana menentang larangan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Polis Turki menahan penunjuk perasaan ketika protes Hari Buruh di Istanbul. (Gambar: AFP)
ISTANBUL: Polis Turki menahan lebih 200 orang yang cuba mengadakan perhimpunan Hari Buruh di bandar Istanbul pada Sabtu (1 Mei) kerana menentang larangan di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Para penunjuk perasaan itu ditahan ketika mereka cuba berjalan ke Dataran Taksim, kawasan yang sering digunakan bagi penganjuran tunjuk perasan, kata wartawan AFP, dan di kawasan berdekatan lain termasuk Istiklal Avenue yang terkenal.
Pejabat gabenor Istanbul kemudian menyatakan 212 orang ditahan berhubung kejadian itu.
Pegawai polis yang dikerah berusaha menyuraikan orang ramai secara paksa dengan menggunakan perisai mereka. Menurut seorang wartawan, beberapa penunjuk perasaan juga diheret oleh polis.
Turki diletakkan di bawah dalam perintah berkurung sepenuhnya sejak 29 April ekoran gelombang ketiga koronavirus yang menyebabkan jumlah kematian yang tinggi setiap hari. Kira-kira 394 orang mati akibat COVID-19 di Turki spada Jumaat (30 Apr), berdasarkan data rasmi.
Dataran Taksim menjadi tumpuan setiap Hari Buruh, dengan sering berlaku pertempuran sejak 34 orang terbunuh di pada 1 Mei 1977 semasa suatu tempoh tidak stabil dalam sejarah Turki moden.
Sekumpulan kecil penunjuk perasaan yang diketuai oleh Gabungan Kesatuan Sekerja Sebenar Turki (Hak-Is) menghadiri acara yang diluluskan secara rasmi di Dataran Taksim.
Sekurang-kurangnya 11 orang juga ditahan di ibu kota Ankara selepas cuba mengadakan tunjuk perasaan Hari Buruh, lapor media tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.