Skip to main content

Dunia

Polis siasat suspek pembunuhan Siti Nur Surya Ismail sama ada lakukan sendiri atau ada rakan

BH Online melaporkan,terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat suspek pembunuhan Siti Nur Surya Ismail sama ada lakukan sendiri atau ada rakan

Gambar hiasan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 03 Nov 2020 09:30PM Dikemas Kini : 03 Nov 2020 09:33PM

KUALA BERANG: Polis masih menyiasat sama ada pelajar perempuan Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, melakukan jenayah itu bersama individu lain atau berseorangan, demikian menurut laporan BH Online.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Timbalan Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 19 tahun dipercayai melakukan jenayah itu bersendirian hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian.

"Setakat ini, kita tidak boleh sahkan sama ada suspek ada rakan jenayah yang lain atau sebaliknya kerana siasatan masih di peringkat awal.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak polis untuk membantu siasatan," katanya seperti dinukil BH Online ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini (3 Nov).

Mengenai motif kejadian pula, Timbalan Superintendan Mohd Adli berkata, hasil siasatan awal masih menjurus kepada perselisihan faham namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kita akan memanggil beberapa saksi yang boleh membantu melengkapkan siasatan termasuk ahli keluarga suspek dalam masa terdekat.

"Pemeriksaan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya juga negatif, " katanya.

Beliau turut meminta netizen tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan perkara yang boleh menimbulkan kerisauan serta salah faham dalam kalangan masyarakat.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita tidak benar.

BH Online melaporkan,terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari sehingga Isnin dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan kerana membunuh.

Sumber : Agensi berita/SU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita