Polis siasat kes pengemis etnik Rohingya; kumpul maklumat siapa dalang

Gambar hiasan (Gambar: dream.co.id)
ALOR SETAR: Polis tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket mendalangi etnik Rohingya yang menjalankan kegiatan mengemis di jalanan di sekitar Kuala Lumpur dan beberapa bandar di negeri-negeri lain.
Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, pada masa ini polis sedang menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat mengenai kegiatan tersebut.
"Sindiket ada kemungkinan, saya tidak boleh nak ni (sahkan) lagi, mungkin selepas buat tangkapan ataupun siasatan nanti, kita cuba kumpulkan risikan," katanya seperti dinukil oleh Astro AWANI.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.
Pada majlis itu, Encik Razarudin menyaksikan bekas Ketua Polis Kedah, Kamarul Zaman Mamat menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Pesuruhjaya Wan Hassan Wan Ahmad, lapor AstroAWANI.
Encik Razarudin memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan ibu pejabat polis kontinjen dan daerah memantau secara lebih serius kegiatan mengemis dalam kalangan etnik Rohingya.
Jelasnya, kebanyakan kegiatan tersebut kebanyakannya dikesan lampu isyarat di jalan sesak di bandar-bandar besar.
Selain itu, tambahnya, polis juga mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas etnik Rohingya yang didapati mengemis di jalanan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Akta Kesalahan Kecil.
"Kita boleh mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan mengganggu dan juga "money orphan" atas kesalahan kecil..undang-undang di Malaysia ini bukan sahaja tertakluk kepada warganegara Malaysia, ia juga tertakluk juga kepada sesiapa sahaja yang sudah melakukan kesalahan jenayah, kesalahan kecil tindakan akan diambil," katanya seperti dinukil AstroAWANI.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.