Polis siasat kejadian tembakan, mayat ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah JB
Polis Malaysia sedang menyiasat kejadian tembakan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Link Kedua, Gelang Patah di Johor Bahru, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mayat lelaki yang ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Khamis (4 Jul).
Ketua Polis Johor, M. Kumar. (Gambar: Bernama)
Ketua Polis Johor M. Kumar berkata mayat dengan kesan tembakan itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, pada pukul 1.40 pagi sebelum semakan padanan cap jari mendapati bahawa mangsa berumur 42 tahun dan berasal dari Sungai Petani, Kedah.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hospital berkenaan mendapati mangsa telah ditinggalkan oleh dua individu menaiki kereta berwarna gelap yang sedang dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Encik Kumar berkata hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan mengesahkan punca kematian mangsa yang mempunyai empat rekod jenayah lampau akibat beberapa kesan tembakan di dada dan perut.
Awal dari itu, beliau berkata pada Khamis, pukul 12.12 tengah malam, bahawa berlakunya kejadian yang serangan dipercayai bermotifkan samun di kawasan stesen minyak berkenaan melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang menyerang kumpulan lelaki lain bersenjatakan pistol, hingga menyebabkan tembakan dilepaskan.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah menahan tiga suspek, iaitu dua lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia 30 hingga 40 tahun di kawasan Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira 7.00 malam hari yang sama.
"Kita turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, buku lesen pemilikan senjata dan peluru, kelopak peluru berisi enam butir peluru bersaiz 9 milimeter, sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam serta beberapa kelongsong peluru," kata beliau.
Encik Kumar berkata seorang daripada suspek yang diberkas bekerja sebagai pengawal peribadi dan siasatan awal mendapati individu tersebut memiliki lesen pemilikan senjata, namun siasatan lanjut berhubung status pemilikan senjata itu sedang dijalankan.
“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kaitan mangsa dan suspek yang terlibat dengan kedua-dua insiden berkenaan. Kita juga sedang mengesan suspek lain yang masih bebas,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.