Polis siasat helikopter langgar SOP rentas negeri ke Ipoh demi 'nasi ganja'
Tidak dapat rentas negeri sendiri, seorang pelanggan sebaliknya mendapatkan khidmat sebuah helikopter dari Kuala Lumpur untuk mengambil 36 bungkus 'nasi ganja' yang dipesannya dari kedai nasi kandar popular bandar raya itu.
IPOH: Isu helikopter dari Kuala Lumpur yang mengambil pesanan ‘nasi ganja’ di Ipoh akan disiasat atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah atau negeri, kata Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak akan membuka kertas siasatan berhubung isu tular tersebut terhadap individu dan syarikat helikopter berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB 2020) Akta 342,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat (23 Jul).
Kenyataan itu dikeluarkan ekoran isu tersebut yang tular dalam media sosial pada Jumaat apabila sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di Ipoh, dipercayai untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja yang ditempah pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah kedai menjual nasi kandar terkemuka di bandar raya itu.
Mengulas lanjut, Encik Mior Faridalathrash ketika dihubungi berkata helikopter itu didapati mendarat di Padang Ipoh pada 9.55 pagi hingga 10.15 pagi dan tidak mendapat kebenaran mendarat di situ.
“Setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh,” katanya.
Sumber CAAM memberitahu Bernama satu kenyataan rasmi mengenai isu itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.