Skip to main content

Dunia

Polis selamatkan 51 pelajar dari dibakar hidup-hidup dalam bas sekolah

Polis Itali pada Rabu (20 Mac) menyelamatkan 51 pelajar yang ditahan oleh pemandu bas sekolah mereka. Pemandu itu menyimbah kenderaan tersebut dengan petrol dan menyalakannya sebagai membantah kematian para pendatang di Mediterranean.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis selamatkan 51 pelajar dari dibakar hidup-hidup dalam bas sekolah

Bas sekolah terbakar yang terlibat dalam insiden penculikan sekitar 50 pelajar (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 21 Mar 2019 10:33AM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 10:39AM

ROME: Polis Itali pada Rabu (20 Mac) menyelamatkan 51 pelajar yang ditahan oleh pemandu bas sekolah mereka. Pemandu itu menyimbah kenderaan tersebut dengan petrol dan menyalakannya sebagai membantah kematian para pendatang di Mediterranean.

Sesetengah kanak-kanak itu diikat selama 30 minit. Sebelum itu, bas terlibat terbabas dan merempuh sebuah kereta. Namun kejadian itu berjaya ditangani oleh pihak polis selepas salah seorang pelajar berjaya meminta bantuan. Tiada pelajar dilaporkan cedera parah.

"Ini adalah satu keajaiban, ia hampir-hampir menjadi pembunuhan. Polis bertindak dengan cemerlang, menyekat bas dan menyelamatkan kanak-kanak itu," kata pendakwa Milan, Francesco Greco.

Gambar-gambar menunjukkan bahagian luar bas dan kereta terbakar.

Greco menambah bahawa beliau tidak boleh menolak kemungkinan insiden itu ada kaitan dengan insiden pengganas di San Donato Milanese di utara Itali.

Seramai 51 orang pelajar menengah dua sekolah itu sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah acara sukan, ditemani oleh tiga orang dewasa, apabila pemandu bas itu tiba-tiba menukar haluan dan mengumumkan bahawa dia akan menahan mereka sebagai tebusan.

"Tiada siapa yang keluar dari sini hidup-hidup," katanya, menurut beberapa orang pelajar.

Lebih 10 pelajar dan dua orang dewasa dibawa ke hospital kerana terhidu asap manakala pemandu yang ditangkap, seorang warga Itali yang berasal dari Senegal, juga memerlukan rawatan kerana mengalami kelecuran pada tangannya.

Polis antipengganas Milan sudah dikerahkan untuk menyiasat insiden yang berlarutan selama lebih 30 minit itu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita