Skip to main content

Dunia

Polis Sabah siasat aktivis pelajar; karikatur PM Anwar dibakar dalam perhimpunan antirasuah

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Sabah siasat aktivis pelajar; karikatur PM Anwar dibakar dalam perhimpunan antirasuah

Gambar tular karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibakar di Perhimpunan Aman Gempur Rasuah 2.0 di Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Jun 2025. (Gambar: Facebook/Suara Mahasiswa UMS)

Diterbitkan : 24 Jun 2025 06:39PM
KOTA KINABALU: Peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah 2.0 disiasat atas sembilan kesalahan melibatkan perhimpunan yang berlangsung pada Sabtu lalu (21 Jun), kata Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun.

Beliau berkata kesalahan yang dikesan antaranya menghasut, membuat pembakaran terbuka di tempat awam, membawa bahan kakisan berbahaya dalam perhimpunan dan menyentuh isu sensitif melibatkan raja, agama serta kaum atau 3R.

Selain Akta Perhimpunan Aman 2012, peserta itu juga disiasat berdasarkan undang-undang lain antaranya Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan, katanya.

“Setakat ini kita telah menerima enam laporan polis berkenaan kes ini. Polis juga telah membuka tiga kertas siasatan libatkan sembilan kesalahan. Dalam perhimpunan ini terdapat insiden yang seharusnya tidak berlaku.

“Tiada lagi (ditahan), tetapi bermula hari ini kita mula memanggil beberapa orang yang terlibat dalam perhimpunan itu untuk memberikan keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada Isnin (23 Jun).

Perhimpunan anjuran kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah itu antara lain berarak sekitar bandar raya Kota Kinabalu serta membawa plakad mengenai pelbagai isu di Sabah seperti rasuah dan bekalan air, selain membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Encik Jauteh berkata pada awalnya penganjur telah menghantar pemberitahuan kepada polis tentang perhimpunan itu berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pihaknya memberikan maklum balas supaya peserta mematuhi 15 syarat ditetapkan antaranya menjaga ketenteraman awam.

“Pihak polis juga bantu memastikan perhimpunan ini tiada insiden boleh menggugat ketenteraman awam dan menjaga semua pihak termasuk peserta sendiri.

“Malangnya dalam kes ini kita mendapati pihak penganjur gagal memenuhi syarat itu. Walaupun dalam perhimpunan ini bertujuan menunjukkan suara hati mereka tetapi hendaklah disampaikan tanpa menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda ketika ditemui selepas sidang media itu berkata pihak polis tidak mempunyai sebarang masalah dalam penganjuran perhimpunan itu selagi ia mematuhi syarat yang ditetapkan dan undang-undang negara namun apa terjadi adalah sebaliknya.

"Walaupun mereka telah menerima kesemua syarat tersebut, namun ada pihak yang hanya berkongsi (di media sosial) bahagian hadapan pemberitahuan diberikan pihak polis dan tidak berkongsi keseluruhan syarat yang telah ditetapkan buat makluman semua terutama peserta perhimpunan," katanya.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita