Polis rampas 3 kontena daging beku tenggiling di Sabah
Polis Sabah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas tiga kontena yang dimuatkan dengan 1,860 kotak berisi daging tenggiling beku seberat 28,000 kilogram di sebuah gudang pengumpulan.
TUARAN: Polis Sabah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas tiga kontena yang dimuatkan dengan 1,860 kotak berisi daging tenggiling beku seberat 28,000 kilogram di sebuah gudang pengumpulan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata ia menyusuli serbuan dilakukan polis dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di sebuah kilang memproses daging dan kulit tenggiling secara haram di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Selatan pada Khamis (7 Feb).
Encik Omar berkata dalam serbuan dan pemeriksaan di kilang itu kira-kira 8.46 malam, polis dan pegawai JHL Sabah turut merampas sebuah kenderaan serta 35 ekor tenggiling hidup disimpan di belakang bonet kereta itu selain turut menemui dua karung plastik berisi sisik tenggiling dan sebuah alat penimbang digital.
“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM8.4 juta (S$2.8 juta) meliputi 61 tenggiling hidup, 361 kilogram sisik tenggiling, 572 ekor tenggiling beku, tiga kontena berisi 1,860 kotak tenggiling beku, dua ketul kaki haiwan disyaki beruang, empat ekor keluang bakau beku dan beberapa kenderaan dirampas di kilang itu,” kata Encik Omar.
Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki berumur 35 tahun terbabit bertindak sebagai pengurus kilang yang dipercayai beroperasi sejak tujuh tahun lalu.
Suspek dipercayai membeli kesemua tenggiling itu daripada pemburu haram yang kemudian akan dikumpulkan sebelum dihantar ke kilang terbabit untuk diproses oleh pekerja kilang.
“Daging tenggiling akan dibungkuskan, dikotakkan dan dihantar ke tempat penyimpanan gudang ini yang disewa sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan dan Sarawak,” tambahnya.
Dalam pada itu, Omar berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu terlibat dalam kes itu termasuk pemilik dan pekerja kilang selain mengesan pemburu haram berikutan memburu dan memproses spesies hidupan liar dilindungi seperti tenggiling adalah satu kesalahan dan boleh ditangkap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.