Skip to main content

Dunia

Polis Perancis buru pencuri Louvre, beri amaran permata mahkota mungkin lesap

Anggaran Waktu Membaca:
Polis Perancis buru pencuri Louvre, beri amaran permata mahkota mungkin lesap

Sebuah mahkota yang dipakai oleh Permaisuri Perancis Eugenie, yang menjadi sasaran pencuri semasa satu rompakan di Muzium Louvre, Paris pada 19 Oktober 2025. (Gambar: Reuters/Muzium Louvre/Edaran)

Diterbitkan : 21 Oct 2025 07:45AM
PERANCIS: Polis Perancis melancarkan salah satu operasi memburu terbesar di negara itu selepas permata mahkota Perancis dari Louvre dicuri, tetapi pakar mengatakan artifak yang tidak ternilai itu berkemungkinan hilang buat selama-lamanya, dicabut bahagian-bahagiannya, dicairkan atau dijual dalam masa beberapa hari.

Pegawai penguat kuasa undang-undang dan pakar jenayah seni memberitahu Reuters bahawa walaupun penyiasat yakin mereka akhirnya akan menangkap pelakunya, mendapatkan semula permata itu adalah lebih sukar.

"Sebaik sahaja ia dipotong menjadi permata yang lebih kecil, tiada harapan lagi," kata Christopher Marinello, pengasas Art Recovery International. "Kami tidak akan melihat kepingan ini dalam keadaan utuh lagi."
ROMPAKAN BERANI CETUS PERSOALAN KESELAMATAN

Rompakan itu, yang berlaku pada Ahad di muzium yang paling banyak dikunjungi di dunia, digambarkan sebagai penghinaan terhadap negara dan mendorong semakan segera terhadap keselamatan di institusi kebudayaan Perancis.

"Jika anda menyasarkan Louvre, muzium paling penting di dunia, dan terlepas dengan permata mahkota Perancis, sesuatu yang tidak kena dengan keselamatan," kata penyiasat seni Arthur Brand.

Louvre menyuarakan kebimbangan mengenai pembiayaan yang tidak mencukupi untuk keselamatan, dan sekurang-kurangnya empat muzium Perancis yang lain sudah melaporkan kecurian dalam tempoh dua bulan yang lalu.

PENCURI ITU SANGAT TERLATIH: PAKAR

Unit polis khusus BRB, yang terkenal kerana mengendalikan kes rompakan permata Kim Kardashian pada 2016, mengetuai siasatan, meneliti rakaman pengawasan dan mengaktifkan pemberi maklumat.

Pihak berkuasa percaya hanya beberapa rangkaian penjenayah profesional yang boleh melakukan kerja sedemikian. Tetapi pakar mengatakan permata itu berkemungkinan sudah dipecahkan kepada batu yang lebih kecil atau dicairkan untuk dijual semula di hab berlian seperti Antwerp.

"Mereka berkejar dengan masa," kata Encik Brand. "Geng-geng ini tahu mereka hanya mempunyai lima atau enam minit sebelum polis tiba - jika ia mengambil masa yang lebih lama, mereka akan pergi."

MUZIUM DI BAWAH TEKANAN DI SELURUH EROPAH

Dengan institusi kebudayaan berdepan pemotongan bajet, pakar memberi amaran bahawa kecurian muzium semakin meningkat di seluruh Eropah.

"Jika anda mempunyai permata atau emas dalam koleksi anda, anda perlu bimbang," kata Encik Marinello.

Pakar perunding keselamatan menggesa muzium agar fokus kepada memperlahankan pergerakan pencuri, dengan menambah lebih banyak halangan dan melengah-lengahkan masa, daripada cuba mencapai perlindungan sepenuhnya.

Seperti yang dikatakan oleh seorang pengarah muzium Finland: "Ekonomi harian yang semakin ketat bukanlah asas terbaik untuk membuat pelaburan yang diperlukan bagi mengurangkan potensi ancaman."
Sumber : Reuters/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita