Skip to main content

Dunia

Polis NZ dakwa lelaki atas tuduhan miliki bahan letupan di Christchurch

Seorang lelaki di Christchurch didakwa di mahkamah pada Rabu ( 1 Mei) kerana memiliki bahan letupan, peluru dan senjata, sehari selepas polis menemui apa yang disyaki sebagai alat letupan di bandar tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis NZ dakwa lelaki atas tuduhan miliki bahan letupan di Christchurch

Polis New Zealand mengepung jalan raya dekat sebuah masjid di Linwood, Christchurch. (Gambar: Mark Baker/AP)

Diterbitkan : 01 May 2019 07:20PM Dikemas Kini : 01 May 2019 07:22PM

WELLINGTON: Seorang lelaki di Christchurch didakwa di mahkamah pada Rabu ( 1 Mei) kerana memiliki bahan letupan, peluru dan senjata, sehari selepas polis menemui apa yang disyaki sebagai alat letupan di bandar tersebut.

Pada 15 Mac lalu, 50 orang terbunuh manakala berpuluh lagi cedera dalam serangan pengganas di masjid Al Noor dan Linwood ketika sedang solat Jumaat. Insiden terbaru ini berlaku hanya satu kilometer dari masjid Linwood.

Polis bagaimanapun menyatakan suspek berusia 33 tahun itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan serangan-serangan tersebut. Menurut kenyataan daripada Polis New Zealand, dia didakwa dengan tiga tuduhan memiliki bahan letupan dan peluru serta dua tuduhan memiliki senjata.

Polis memberkas lelaki berkenaan di sebuah stesen perkhidmatan di timur Christchurch pada Selasa. Skuad pemusnah bom pula dikerah untuk menguruskan peranti yang disyaki alat letupan di sebuah rumah kosong di pinggir lain bandar tersebut.

Unit pelupusan bom kemudian mengesahkan bungkusan itu selamat.

Kawalan keselamatan di New Zealand berada pada tahap yang tinggi meskipun ancaman keselamatan negara diturunkan ke tahap 'sederhana' bulan lalu setelah kejadian pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch.

Suspek pelampau kulit putih Australia Brenton Tarrant, 28 tahun, kini berdepan dengan 50 dakwaan membunuh. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita