Polis M'sia tahan lelaki kes ugut ketua hakim negara
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes ancaman dan ugutan di media sosial ke atas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang dilakukan pada Jumaat (19 Ogos).
Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Puchong pada 11.15 malam.
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman ACP A.Skandaguru berkata polis menerima aduan mengenai ancaman dan ugutan itu yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Apiez Bond’.
Beliau berkata polis juga merampas satu unit telefon bimbit berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik catatan berbaur ugutan itu.
“Suspek telah direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Selasa untuk siasatan lanjut dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (20 Ogos).
ACP Skandaguru berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.
Menurut beliau lagi, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Beliau menambah polis memandang serius terhadap perkara terbabit dan tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan ketenteraman awam selain tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil.
Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam Sabtu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.