Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia tahan lelaki disyaki papar rasa tidak puas hati terhadap Agong

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia tahan lelaki disyaki papar rasa tidak puas hati terhadap Agong

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed. (Gambar: Bernama)

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan seorang lelaki warga Malaysia pada Selasa (22 Nov) kerana dipercayai memuat naik rakaman video di akaun Instagramnya yang memaparkan rasa tidak puas hati terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan proses pemilihan Perdana Menteri ke-10.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata suspek ditahan, selepas pihaknya bertindak atas satu laporan polis dibuat seorang individu warga tempatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 10.52 malam Isnin (21 Nov) lalu berkaitan rakaman video selama 15 saat, yang dipercayai dimuat naik oleh suspek.

“Hasil penelitian mendapati, video tersebut menyatakan ketidakpuasan hati pemilik akaun Instagram terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam proses pemilihan Perdana Menteri."

“Video itu turut melabelkan salah satu kaum di negara ini sebagai korupsi serta menghasut orang ramai untuk membuat demonstrasi bagi membantah kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pemilihan calon Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu (23 Nov).

Encik Arjunaidi berkata berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sudahpun menyerbu sebuah rumah di sekitar Kajang pada pukul 10.30 malam, Selasa (22 Nov).

“Menerusi serbuan tersebut, pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai merupakan pemilik akaun Instagram dan kita telah mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga 25 Nov terhadap suspek daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur."

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Encik Arjunaidi turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menghayati serta menghormati prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara tersebut.

“Kita turut menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara. Mereka yang didapati berbuat demikian akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan