Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia tahan calon PRU15, muat naik video guna senjata api tanpa lesen

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menahan seorang calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan senjata api tanpa lesen serta kebenaran, yang videonya dimuat naik ke media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama rakannya, seorang lelaki berumur 41 tahun di Petaling Jaya, Selangor, sekitar pukul 10.20 malam pada Khamis (8 Dis). 

Beliau berkata tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan pada pukul 6.53 petang Rabu (7 Dis), berhubung kejadian seorang warga tempatan memuat naik rakaman melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di media sosial.

Katanya, video itu dimuat naik oleh wanita berkenaan di dua platform media sosial miliknya, iaitu TikTok dan Instagram.

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Supt Ku Mashariman berkata kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari sehingga 11 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan