Skip to main content

Dunia

Polis M'sia tahan 61 pendatang asing seludup masuk dari negara jiran

Anggaran Waktu Membaca:
MANJUNG: Polis Malaysia menahan 61 pendatang asing tanpa izin termasuk tujuh wanita dipercayai menyusup dari negara jiran dengan menggunakan sebuah bot di 2.5 batu nautika dari Pulau Talang, di Manjung pada Rabu (10 Ogos).

Pemangku Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris berkata mereka ditahan pada pukul 2.15 pagi atas maklumat awam oleh Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh dan turut dibantu pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Penahanan tersebut turut membabitkan seorang tekong berumur 39 tahun dan dua pembantunya berumur 40 dan 45 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan sudah dibawa ke Pengkalan Markas Operasi PPM bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Encik Azizi siasatan awal mendapati kesemua tahanan dikenakan bayaran berjumlah RM800 (S$247) hingga RM4,000 (S$1,234) oleh ejen di negara jiran untuk menyusup masuk ke Malaysia.

“Tekong bot yang ditahan mengaku mereka berlepas dari negara jiran menuju ke Pulau Angsa dan Sekinchan, Selangor,” tambahnya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan 2012.

Justeru, beliau berterima kasih atas maklumat dan kerjasama orang awam serta mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan dengan menghubungi Balai Polis berhampiran.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita