Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia tahan 3 lelaki susuli percubaan seludup barang terlarang menggunakan dron

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA BHARU: Tindakan tiga lelaki menggunakan dron untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang membawa padah apabila ia berjaya dicekup polis.

Dalam kejadian pada 12 Disember lalu sekitar jam 1.05 pagi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang sudah menerima maklumat berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, dron tersebut dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang.

"Susulan itu, pihak kami telah berjaya mengesan peranti yang digunakan di kawasan berdekatan iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret, Machang."

"Semasa serbuan dilakukan, tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun bertindak tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan memecut laju melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (29 Dis), lapor agensi berita Sinar Harian.

Menurut beliau, bagaimanapun kesemua suspek berjaya ditahan di Jalan Utama Kuala Krai - Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang.

"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta dan tiga suspek membawa kepada penemuan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau, 20 biji mercun bola, 13 bungkusan tembakau dan alat kawalan jauh dron model rc123."

"Turut ditemui ialah lima unit telefon bimbit, dua unit power bank, satu bilah parang, sabit, alat penimbang digital, dua gulung dawai besi, plastik pembalut dan tiga gulung tali nylon berwarna kekuningan," katanya, lapor Sinar Harian.

Encik Muhamad Zaki berkata, mereka ditahan dan disiasat atas kesalahan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

"Pada 19 Disember lalu mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret Machang dan telah mengaku bersalah untuk kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Penjara 1995 baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan."

"Pada 20 Disember, salah seorang daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957," katanya.

Menurut beliau, suspek dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap satu pertuduhan serta satu sebatan dan hukuman berjalan serentak.

Dalam pada itu, Encik Muhamad Zaki menasihatkan dan mengingatkan orang ramai bahawa menerbangkan dron tanpa permit atau tanpa kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam adalah merupakan satu kesalahan.

Beliau menegaskan penggunaan peranti tersebut untuk tujuan jenayah adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada.

"Kami tidak akan berkompromi dengan pelanggaran perundangan ini dan tindakan tegas akan diambil sewajarnya," katanya, lapor Sinar Harian.


 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan