Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia siasat video tular warga asing sokong hina Nabi Muhammad

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia siasat video tular warga asing sokong hina Nabi Muhammad

(Gambar: Tangkapan skrin video @gangarammahato280/TikTok)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ia menerima aduan berhubung penularan video di aplikasi TikTok mengenai pendirian menyokong perjuangan ahli politik dari India yang membuat penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata rakaman menerusi akaun @gangarammahato280 tersebut memaparkan sekumpulan lelaki, dipercayai warga asing, berkumpul di hadapan kuil Batu Caves.

“Rakaman video selama seminit 18 saat yang mendapat 16,000 tontonan, 52 tanda suka serta 302 komen turut dikesan menerusi aplikasi media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp.

“Ia berhubung perjuangan Hindu Samachar serta tindakan ahli politik daripada Parti Bharatiya Janata, Nupur Sharma, yang mengeluarkan kenyataan penghinaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (14 Jun).

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Menurut Encik Abd Jalil, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

PDRM juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan tidak menyentuh sensitiviti agama serta kaum. Ia turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang sengaja berbuat demikian.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan