Polis M'sia siasat perhimpunan 1 Mei, gimik lancar gerakan rakyat
(Gambar: PDRM)
KUALA LUMPUR: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung perhimpunan 1 Mei 2023 dan sidang media gimik pelancaran Gerakan Rakyat yang diadakan di dua lokasi di ibu negara Malaysia itu antara pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari Isnin (1 Mei).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata perhimpunan di hadapan Bangunan Maju Junction menyaksikan sekumpulan peserta berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak ke Jalan Leboh Ampang, dan satu lagi perhimpunan diadakan di sekitar Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Beliau berkata hasil pemerhatian polis mendapati kira-kira 200 orang menyertai perhimpunan di hadapan Bangunan Maju Junction, manakala kira-kira 30 orang lagi terbabit dalam perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo.
"Berikutan itu, polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan penganjur kedua-dua perhimpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat.
"Kertas siasatan ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Encik Noor Dellhan turut menasihatkan orang ramai supaya jangan terbabit dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang bagi mengelak dikenakan tindakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.