Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia selesai ambil keterangan 14 individu terkait kes buang al-Quran

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia selesai ambil keterangan 14 individu terkait kes buang al-Quran

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim (kanan). (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Seramai 14 individu termasuk tiga penerbit dan tiga pencetak sudah selesai memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran yang dipercayai sengaja dibuang ke dalam longkang berhampiran tasik lombong di Jinjang pada bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata polis kini masih dalam proses melengkapkan siasatan kes berkenaan dan sedang berusaha mengesan pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Kami masih belum dapat punca sebenar al-Quran ini dari mana dan polis masih berusaha mengesan serta mengenal pasti pihak yang terlibat dengan pembuangan al-Quran secara tidak berhemah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan pembuangan al-Quran di dalam longkang selepas menghadiri program High Profile Policing sempena Peringatan Hari Polis yang ke-216 di KLCC, hari ini (19 Mac).

Sebelum ini, satu video tular di laman sosial yang memaparkan seorang individu mengutip beberapa naskhah al-Quran, dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni di Gombak sehingga menimbulkan perasaan marah dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian agama.

Sementara itu, beliau sekali lagi turut menegaskan amaran yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani Jumaat lalu bahawa polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang membangkitkan isu perkauman.

“Polis tidak akan membiarkan ibu kota warga Kuala Lumpur dan Putrajaya diganggu-gugat keselamatan serta ketenteramannya susulan sentimen perkauman.

“Saya tidak kompromi dengan isu ini (sentimen perkauman) maka saya harap masyarakat dapat menyokong dengan apa yang polis sasarkan iaitu menjaga ketenteraman keharmonian ibu kota ini,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu meniupkan sentimen kaum dan agama dan telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk berwaspada bagi menjaga keamanan negara agar ia tidak digunakan untuk menimbulkan kekacauan.

Susulan itu, Acryl Sani memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara terkawal dan beliau turut menzahirkan komitmen dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berterusan demi memastikan keselamatan kekal terjamin.
 
Sumber : Bernama/NY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan