Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia reman 6 lelaki disyaki terima bayaran bekalkan sijil vaksinasi COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Polis M'sia reman 6 lelaki disyaki terima bayaran bekalkan sijil vaksinasi COVID-19

Gambar fail kereta polis Malaysia. (Gambar: MANAN VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 13 Jan 2022 04:52PM Dikemas Kini : 13 Jan 2022 04:52PM

KUALA TERENGGANU: Enam lelaki direman tiga hari bermula hari ini (13 Jan) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar di Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud berkata kesemua mereka, yang berusia antara 35 hingga 57 tahun itu, ditahan malam semalam dan direman hingga Sabtu untuk siasatan lanjut.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang hari ini selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.

Encik M Zambri berkata kesemua lelaki itu dikatakan menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi COVID-19 tanpa perlu melakukan suntikan sebenar pada kadar bayaran tertentu. Namun, mereka gagal menyediakan sijil berkenaan untuk pelanggan mereka sehingga kini.

"Polis menerima laporan (daripada pelanggan) bahawa bayaran telah dibuat oleh mereka untuk membeli sijil itu tetapi suspek dikatakan tidak memberikan sijil itu kepada mereka," katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

Beliau berkata polis percaya kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan seorang doktor lelaki pada Sabtu lalu, yang disyaki menjual sijil vaksinasi COVID-19 tanpa suntikan sebenar, di sebuah klinik swasta di Marang.

Siasatan awal polis mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik itu untuk tujuan vaksinasi. Namun daripada jumlah tersebut, polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan, dengan bayaran antara RM400 hingga RM600 (S$130 - S$190).
 

Beliau menambah reman terhadap doktor berkenaan berakhir hari ini dan dia dilepaskan sementara menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya.
 

Sumber : Bernama/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa