Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Polis M'sia rampas mercun bernilai RM408 ribu

Anggaran Waktu Membaca:
GEORGE TOWN: Polis Malaysia menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing dan merampas pelbagai jenis mercun yang bernilai RM408,943 (S$126,488), dalam dua serbuan di Batu Maung, pada 19 dan 20 Januari.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis pada mulanya menerima maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah, dan menjalankan operasi tapis sebelum menahan sebuah van di Batu Maung pada pukul 11.00 malam, Khamis (19 Jan).

“Kenderaan itu dinaiki tiga lelaki berusia 26 hingga 45 tahun dan pemeriksaan awal kami menemui satu paket ketamin seberat 6.40 gram (g) dan 18 biji eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM2,700 (S$835), namun pemeriksaan lanjut polis turut menemui 81 kotak yang mengandungi 527 pelbagai jenis mercun.

“Ekoran penahanan mereka, polis kemudiannya menyerbu sebuah premis juga di kawasan Batu Maung dan merampas 44 guni mengandungi 333 kotak pelbagai jenis mercun yang disimpan di situ,” katanya pada sidang media tadi.

Encik Mohd Shuhaily berkata mercun yang dirampas ialah 860 kotak pelbagai jenis mercun yang kesemuanya bernilai RM408,943 (S$126,488).
 
Encik Mohd Shuhaily berkata siasatan mendapati semua mercun itu dibawa masuk dari negara jiran untuk diedar serta dijual di sekitar Pulau Pinang, sempena Tahun Baru Cina.

Beliau berkata lelaki berusia 45 tahun yang ditahan itu merupakan peniaga dan siasatan awal dipercayai dia mendapatkan bekalan daripada sindiket yang membawa masuk mercun tersebut, manakala dua lagi lelaki merupakan pekerjanya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket tersebut dan polis percaya ini bukan pertama kali mereka menyeludup masuk mercun itu, berdasarkan jumlah rampasan yang banyak,” katanya.

Encik Mohd Suhaily berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tiga suspek itu positif dadah jenis methamphetamine dan semua mereka kini direman sehingga 24 Januari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata bagi kesalahan dadah, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala kesalahan jenayah melibatkan mercun, kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan